بسم الله الرحمن الرحيم
"Segala
puji bagi ALLAHU yang memiliki segala sifat-sifat Kesempurnaan sebagai Pencipta
atas Segala dan Raja atas Segala Pemerintah di alam semesta ini. Tuhan yang
segala hukum-Nya dilaksanakan di Langit dan di Bumi. Segalanya berlaku melalui Kebijaksanaan-Nya,
Qudrat-Nya dan Yiradat-Nya yang merangkumi sekalian yang ada, dengan Keagungan Rahmat-Nya,
Kebesaran Berkah-Nya dan Ketinggian Ilmu-Nya atas Sekalian ‘Alam.
Dialah ALLAH.
Yang Maha Pencipta, Yang Wahid dan Yang Maha Tinggi yang mencipta segala
makhluk di Langit dan Bumi dan mengurniakan mereka segala Kelebihan Ilmu dan ‘Akal.
Dialah yang menjadikan manusia sebagai khalifat-khalifat di muka bumi. Dialah
yang mengutus para utusan dari sisi-Nya bagi membimbing dan memimpin segala
makhluk di atas Sirratal Mustaqim, Jalan yang Tegak Lurus Bercahaya Petunjuk
dari-Nya. Dialah yang menurunkan kitab-kitab yang mengandungi An-Nurul-Huday bi
al-Haqqi wa Haqqun, Cahaya Segala di atas Segala Petunjuk dengan Kebenaran dan
Satu-satu Yang Benar. Yang menunjuk arah supaya manusia bertaqwa. Segala Pujian
dan Pujaan untuk dan kerana ALLAHU HUWA RABB-AL’ALAMIIN.
AMMA
BA’ADU....
Selawat
dan salam dihadiahkan melalui-Nya kepada hamba-hamba Allah yang Mursaliin, yang soleh lagi terpilih yang diutus sebagai
pembawa khabar gembira dan peringatan akan
bencana. Mereka diutus sebagai pembimbing manusia dalam perjalanan menuju
Sirrat-al-Mustaqim iaitu supaya manusia dibangkitkan semula dengan Aman dan
Sejahtera. Para utusan ini diutus bagi menunjukkan jalan yang Hakiki dalam
Haqiqat, yang Aman dalam Iman, yang Soleh dalam Penghambaan, yang Terang dalam
Cahaya, yang Dzahir dalam Ghaib, yang Mukhlis dalam Ruhani, yang Bersuluh dalam
Bathin dan yang Berserah dalam Zat Maha Agung.
Mereka
mengajar manusia akan tujuan mereka diciptakan oleh Allah. Mereka mengajar
manusia cara hidup universal yang benar dan betul di dunia ini. Segala Nabi
adalah contoh ikutan, salafi yang tipikal untuk diikuti dan mereka semua adalah
sebahagian dari Rahmat Allah untuk Sekalian ‘Alam.
Mereka
diutus dengan satu misi yang amat besar: “Menyampaikan dan mengajarkan Kalimat
al-Haq dan Kalimat al-Fasli dari Tuhan Pencipta dan segala hidayah dan akhlak
baik yang anda lihat pada hari ini di mukabumi ini sebenarnya adalah berkah Tuhan
atas usaha mereka. Jika tidak kerana kurnia dan rahmat Allah yang telah mengutus
para utusanNya kepada kita, jika tidak kerana usaha mereka yang berterusan dan
berharga di bawah naungan Allah dalam mengembangkan dakwah dan hidayah ini,
sudah tentu pada hari ini tiada kita nampak cahaya hidayah yang menerangi,
tiadalah Kitab-kitab Wahyu.
Dakwah
kami ini ditujukan kepada semua, baik buat mereka yang telah beriman dengan
Allah dan rasulNya, juga buat mereka yang masih belum berpeluang untuk beriman.
Kami tujukan dakwah ini kepada mereka semua semata-mata kerana Allah dan
rasulNya. Kami tujukan risalah yang khusus untuk apa jua keadaan dan situasi
mereka. Malangnya dalam majlis yang berbahagia ini tidak kelihatan golongan
kedua yang saya nyatakan tadi. Semua ini disebabkan oleh kepincangan dasar yang
telah diamalkan oleh pemerintah kita di dalam tempoh 1,200 tahun yang silam
dalam menjalinkan hubungan dengan penduduk-penduduk dalam qariat . Mereka tidak
melaksanakan dengan baik Undang-undang Islam yang Haq sepertimana dimaktubkan
dalam al-Qur’aan al-Ummul Kitab. Al-Qur’aan di letak sebagai perhiasan mata dan
telinga, manakala kitab-kitab karangan Ahl-al-Kitab pula yang dibuat rujukan
berhukum. Apabila Hukum Maha Sempurna Allah untuk Sekalian ‘Alam telah
digantikan dengan hukum sintetik akal persangkaan manusia maka lihatlah dunia!
Suara-suara
manusia mengatakan:-
Islam
dikatakan sebagai Agama Pengganas! SUBHANALLAH!
Al-Qur’aan
dikatakan ciptaan tangan Muhammad! SUBHANALLAH!
Al-Qur’aan
dibakar! SUBHANALLAH!
Salahkanlah
diri sendiri! MAHASUCI ALLAH dari sebarang kesalahan. Segala yang baik datang
dari ALLAHU Rabb-al-‘Alamiin. Segala yang buruk kamulah yang ciptakan sendiri!
Yang
menciptakan kedustaan terhadap ALLAH, Kitab-Nya dan Rasul-Nya tidak lain tidak
bukan ialah Dajjal-dajjal
Akhir Zaman.
ALLAH
hukumkan Alif Baa Taa, mereka itu berkata ABCDEFG.
ALLAH
hukumkan “Qul” untuk semua insaan, mereka tukar “katakanlah Muhammad”.
ALLAH
berhukum dengan Kitab Al-Qur’aan, mereka berhukum dengan Kitab Ahl-al-Kitab!
Jadinya
mereka itu hendak mengangkat martabat diri sebagai tuhan-tuhan di mukabumi.
Hukum Tuhan di bawah dan hukum mereka di atas. SUBHANALLAH!
Mereka yang
merosakkan agama Agama ALLAH menjadikan agama tok nenek mereka sendiri inilah
pemimpin-pemimpin @ imam-imam yang meng-aku-kan tuhan-tuhan di mukabumi.
Malah
kita sendiri tidak boleh nafikan bahawa kita juga turut terlibat, kerana kita
sendiri melayan mereka seolah-olah mereka adalah imam ikutan yang mesti diikut.
Tidak hairanlah jika Islam pada pandangan mereka adalah agama yang khusus untuk
satu bangsa atau sesuatu kaum dan bukan Satu Agama Universal untuk seluruh
manusia. Kesannya, sebilangan kecil hamba-hamba Allah yang membawa Risalah Haq
yang menyambung tugas Khatam-an-Nabiyyina Muhammadun ‘Abduhu wa RasuliLLAH
telah dianggap sesat, dipenjarakan dan ada yang dihukum bunuh.
Mereka
juga tidak bersedia untuk mendengar sesiapa sahaja yang ingin menyampaikan kepada
mereka tentang Risalah Qodim yang telah didatangkan oleh ALLAH melalui
Utusan-utusan dari ALLAHU Dia-lah Tuhan kita, Tuhan mereka dan Tuhan bagi
segala-galanya. Sebenarnya mereka sendirilah yang memutuskan Talian Hablu-min
ALLAH dari mendengar risalah ulangan para utusan yang diutus selepas
Khatam-an-Nabiyyina dan sepertimana Fir’aun berkata, “Tiada lagi akan
didatangkan ALLAH, utusan selepas Yusuf!” maka sebegitu jugalah mereka berkata.
Bukankah menyampaikan sesuatu yang baik itu adalah utusan dari ALLAH?
Dakwah
ini yang ditujukan kepada setiap orang umat Islam ialah supaya mengajak mereka
merasai tanggungjawab besar yang diletakkan di bahu setiap seorang yang sudah
mengaku Islam yang mengaku beriman kepada ALLAH, RasulNya dan KitabNya supaya
mereka kembali semula kepada Jalan Al-Qur’aan Yang Haq, meninggalkan ajaran
yang bathil serta memikul pula tanggungjawab dakwah ini agar disampaikan kepada
seluruh manusia. apabila mereka mendakwa mereka beriman dengan Allah dan Hari Akhirat,
dan apabila mereka mengaku akur dengan segala Perintah Allah Yang Berkitab dan
rasulNya yang membawa Al-Kitab. Tidak mungkin mereka boleh berpeluk tubuh
daripada memikul tanggungjawab ini dengan hanya mengaku beriman atau mendakwa
diri mereka sebagai muslim. Hanya bergantung kepada pengakuan dan cakap kosong dalam
hal ini tidak cukup. Sebenarnya apabila kamu mengakui Allah sebagai Satu-satunya
Tuhan dan Islam sebagai Agama kamu kemudian dilafazkan Syahadah Di Saksikan
Tuhan yang Sebenar (Pengakuan Bahawa Tiada Lain Tuhan yang Hak Disembah Selain
Allah dan Muhammad Adalah Utusan Pesuruh Allah), kamu sepatutnya merasai tanggungjawab
yang perlu kamu laksanakan sebaik sahaja kamu melafazkan syahadah ini. Kamu
juga perlu fikirkan apakah yang dapat kamu lakukan untuk menunaikan tugas
penting ini. Jika kamu tidak laksanakan kewajipan kamu ini atau kamu tidak
berusaha untuk melaksanakannya kamu sebenarnya menempah akibat buruk dari perbuatan
kamu dan kamu akan rugi di dunia dan di akhirat.
Mungkin
ada yang tertanya-tanya: Apakah tanggungjawab yang anda katakan boleh membawa
akibat buruk jika diabaikan ini?
Suatu
yang perlu anda sentiasa ingat ialah tanggungjawab besar ini tidak akan
terlaksana dengan hanya kamu beriman dengan Allah, malaikatNya, kitab-kitabNya,
rasul-rasulNya dan hari akhirat. Tanggungjawab ini juga tidak tertunai dengan
hanya kamu melaksanakan sembahyang, puasa, zakat dan haji sahaja. Malahan ia
tidak cukup sekadar anda melaksanakan undang-undang syarak dalam urusan
peribadi seperti perkahwinan, cerai atau pusaka kemudian anda boleh berpeluk
tubuh tanpa menitiskan walau setitik peluh pun dan kamu boleh tidur lena.
Tidak, bukan demikian saudara. Ada satu tanggungjawab yang jauh lebih besar dan
lebih penting daripada semua itu.
Sedarlah
saudara...
Tanggungjawab
ini ialah kamu melaksanakan di hadapan seluruh ‘alam ini segala hak Syahadah
Al-Haq (Pengakuan Bahawa Lain Tiada Tuhan yang Hak Disembah Selain Allah dan
Muhammad Adalah Utusan Pesuruh Allah) yang kamu imani dan kamu akui sebagai
agama kamu. Kitab suci Al-Qur’an yang mulia telah mengingatkan kamu bahawa
Allah Taala yang memiliki nama-nama yang suci telah meletakkan kamu sebagai
satu ummah perantara. Malah Allah memilih kamu, bukan umat-umat yang lain
supaya kamu melaksanakan segala hak syahadah ini. Hak syahadah ini perlu dilaksanakan
dengan cara kamu menyampaikan kalimah hak ini ke seluruh bangsa manusia,
melalui amalan soleh yang kamu lakukan, melalui akhlak terpuji yang kamu miliki
serta melalui pemerintahan kamu yang adil dan betul supaya pada hari di mana
segala saksi bangkit menyatakan penyaksian mereka, semua manusia tunduk di
bawah hujah Allah dan mereka tidak dapat menafikan lagi bahawa dakwah para nabi
dan kalimah hak ini telah sampai ke gegendang telinga mereka.
Allah Ta’ala
berfirman (bermaksud):
Dan
demikian Kami telah menjadikan kamu, umat yang adil dan pilihan agar kamu
menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul menjadi saksi atas
(perbuatan) kamu. Dan Kami tidak menetapkan kiblat yang menjadi kiblatmu melainkan
agar Kami mengetahui siapa yang mengikuti Rasul dan siapa yang membelot. Dan
sungguh (pemindahan kiblat) itu terasa amat berat, kecuali bagi orang-orang
yang telah diberi petunjuk oleh Allah; dan Allah tidak akan menyia-nyiakan
imanmu. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang kepada manusia. (Al-Baqarah:
143)
Kamu
sendiri pun tahu apakah hukuman Allah buat mereka yang menyembunyikan syahadah
ini ketika di dunia. Mudah-mudahan Allah menjauhkan kita daripada akibat buruk
yang bakal mereka terima di akhirat kelak. Allah Taala sendiri berfirman:
"Ataukah
kamu mengatakan bahwa Ibrahim, Ismail, Ishak, Yakqub dan anak cucunya, adalah
penganut agama Yahudi atau Nasrani? Katakanlah: "Apakah kamu yang lebih
mengetahui ataukah Allah, dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang
menyembunyikan syahadah dari Allah yang ada padanya?" Dan Allah
sekali-kali tiada lengah dari apa yang kamu kerjakan." (Al-Baqarah: 140)
“Sesungguhnya
orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan berupa
keterangan-keterangan (yang jelas) dan petunjuk, setelah Kami menerangkannya
kepada manusia dalam Al Kitab, mereka itu dilaknati Allah dan dilaknati (pula)
oleh kesemua yang dapat melaknati” (Al-Baqarah: 159)
Lihatlah
kaum Yahudi yang telah dianugerahkan takhta syahadah ini sebelum kamu.
Malangnya ada kala mereka menyembunyikan syahadah ini dan ada kalanya mereka
mengakui kebenaran syahadah ini, menurut kemahuan mereka yang berniat jahat.
Malahan mereka tenggelam dalam kezaliman. Akhirnya segala amalan dan syahadah
mereka digunakan bagi menegakkan kepalsuan dan menidakkan kebenaran. Justeru
itu mereka layak menerima laknat selama-lamanya. Oleh itu mereka ditimpa
kehinaan dan kepapaan, dan sudah sepatutnya mereka menerima kemurkaan Allah sebagaimana
dinyatakan sendiri oleh wahyu Allah.
Maksud
syahadah (Pengakuan Bahawa Tiada Lain Tuhan yang Hak Disembah Selain Allah dan Muhammad
Adalah Utusan Pesuruh Allah) yang diletakkan ke bahu kamu selepas ketiadaan
Nabi Muhammad s.a.w. ini ialah supaya kamu menjelaskan kepada seluruh manusia
tentang kebenaran yang nyata ini dan kamu bimbing mereka untuk melalui
satu-satunya jalan yang menghubungkan mereka ke arah kebahagiaan di dunia dan
akhirat. Kamu tunjukkan kepada mereka pendekatan sebenar yang telah ditunjukkan
oleh Allah, kamu tunjukkan segala petunjuk dan arahtujunya yang merupakan
satu-satunya pendekatan yang betul dan diredai oleh Allah. Satu-satunya
pendekatan yang akan membawa kebahagiaan kepada seluruh umat manusia.
Jadi
maksud sebenar di sebalik syahadah (Pengakuan Bahawa Tiada Lain Tuhan yang Hak Disembah
Selain Allah dan Muhammad Adalah Utusan Pesuruh Allah) yang perlu kamu paparkan
kepada seluruh manusia ialah kamu buktikan bahawa kebenaran yang jelas nyata
dan pendekatan yang sahih ini adalah benar dan terbukti kukuh sehingga ia boleh
menjadi hujah untuk Allah menghukum hamba-hambaNya. Suatu perkara yang jelas
nyata ialah para nabi dan para rasul telah diutus untuk menyampaikan syahadah ini.
Sudah tentu tanggungjawab ini menjadi kewajipan mereka. Setelah itu, selepas
ketiadaan mereka tanggungjawab ini diwajibkan pula kepada orang-orang yang
mengimani dan akur dengan risalah dan perintah mereka. Pada hari ini
tanggungjawab syahadah dipikul pula oleh seluruh umat Islam yang beriman dengan
risalah Muhammad s.a.w.. Tanggungjawab ini kini menjadi tanggungjawab mereka semua
yang suatu ketika dahulu ia menjadi kewajipan pembawa risalah ini, Nabi
Muhammad s.a.w. ketika hayatnya. Saudara-saudara sudah pasti memahami betapa
penting dan besarnya peranan syahadah ini. Segala undang-undang yang Allah
gubal dan berkaitan dengan balasan dan hukuman kepada amalan dan kesalahan
manusia sebenarnya berlandaskan dan berteraskan kepada syahadah ini. Sudah
tentu Allah yang Maha Bijaksana dan Maha Pengasih akan melaksanakan segala
sesuatu dengan adil. Sudah tentu dengan sifat Maha Bijaksana, Maha Rahmat dan Maha
Adil Allah tidak akan menghukum manusia apabila mereka tergelincir daripada
landasan hidup sebenar sedangkan mereka tidak pernah mengetahui jalan yang
boleh memimpin mereka ke arah kebaikan atau jalan yang menyelamatkan mereka
daripada neraka, sedangkan mereka tidak mengetahui jalan sebenar yang dapat
mengangkat martabat mereka ke arah insan yang sempurna. Tidak mungkin ini akan
dilakukan sendiri oleh Tuhan yang Maha Mulia, Tuhan yang menyifatkan diriNya
sendiri sebagai Maha Pengasih, Maha Pengampun dan Maha Pemurah dalam banyak
ayat yang disebutkan di dalam Kitab suci Al-Qur’an yang mulia. Tidak mungkin
ini akan dilakukan oleh Tuhan yang memiliki segala sifat pengasih dan
pengampun, malah turut memuji diriNya sendiri namun kemudian Dia menghukum
hamba-hambaNya walaupun mereka tidak pernah diberitahu atau diberi amaran oleh
para rasul atau para nabi atau para hamba-hambaNya yang soleh. Kerana itulah
pada mulanya Allah mencipta seorang nabi yang mulia, kemudian Allah utuskan
pula beberapa orang nabi membawa berita gembira dan bencana. Ini diikuti pula
dengan pengutusan rasul demi rasul kepada generasi demi generasi. Kisah mereka
ini ada yang diceritakan oleh Allah dan ada yang tidak diceritakan. Malah hanya
Allah sahaja yang mengetahui jumlah mereka. Tujuan Allah mengutuskan para rasul
ini adalah untuk mengajar bangsa manusia cara hidup sebenar yang diredai oleh
Allah dalam mengharungi hidup di dunia ini. Para rasul ini memimpin manusia
supaya mereka melalui jalan yang akan membawa mereka memperolehi keradaan Allah
dan anugerahnya yang agung. Para rasul ini menjelaskan kepada manusia segala
selok-belok hidup ini yang akan membawa mereka lebih dekat kepada Allah dan
kepada rahmatNya serta menikmati segala limpah kurniaNya. Agar mereka
mengingatkan manusia tentang amalan-amalan yang perlu mereka hindar dan akan
menyebabkan mereka dihukum oleh Allah di akhirat kelak. Ini dinyatakan sendiri
oleh Allah di dalam KitabNya:
"Dan
rasul-rasul yang sungguh telah Kami kisahkan tentang mereka kepadamu dahulu,
dan rasul-rasul yang tidak Kami kisahkan tentang mereka kepadamu. Dan Allah
telah berbicara kepada Musa dengan langsung.(Mereka kami utus) selaku
rasul-rasul pembawa berita gembira dan pemberi peringatan agar supaya tidak ada
alasan bagi manusia membantah Allah sesudah diutusnya rasul-rasul itu. Dan
adalah Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana." (Al-Nisa’: 164-165)
Semua
ini menjelaskan apa yang kami nyatakan tadi bahawa syahadah yang Allah
perintahkan ini sebenarnya bertujuan mematahkan segala hujah manusia yang bakal
digunakan di hadapan Allah kelak. Agar tiada ruang lagi untuk manusia membuat
alasan selepas mereka menerima seruan para nabi. Tiada alasan untuk mereka
berkata: “Kami tidak pernah diberitahu tentang perkara ini. Jadi tidak ada
sebab untuk kami dihukum kerana melakukan apa yang kami tidak tahu mana yang
baik dan mana yang tidak, mana yang elok mana yang buruk”.
Demikianlah
Allah letakkan tanggungjawab ini kepada para rasul yang telah dipilih untuk
menyampaikan risalahNya dan memastikan syahadah ini sampai kepada
hamba-hambaNya. Jadi para rasul terpaksa berhadapan dengan segala tanggungjawab
ini. Mereka menyebarkan risalah ini sebaik-baiknya dan mereka laksanakan segala
tanggungjawab ini dengan penuh kesungguhan, kesabaran dan ketabahan tanpa
mengenal erti penat lelah, dengan memberitahu bahawa seluruh manusia akan
diberikan ganjaran berdasarkan amalan mereka dan akan diberikan hukuman
berdasarkan kejahatan dan kelakuan buruk mereka.
Jika
sebaliknya, iaitu jika para nabi dan rasul ini tidak menjalankan tugas mereka,
maka merekalah yang akan dihukum oleh Allah kerana kesesatan dan kejahatan
manusia. Dengan kata lain, para nabi dan rasul terpaksa berhadapan dengan dua
pilihan. Sama ada mereka melaksanakan segala kewajipan syahadah ini dengan cara
yang terbaik dan memastikan hujah Allah mengatasi hujah manusia. Atau kecuaian mereka
akan dijadikan alasan oleh manusia di hadapan Allah kelak bahawa mereka tidak menyampaikan
kalimah hak yang telah diamanahkan kepada mereka dan mereka tidak memimpin manusia
sebangsa mereka menuju jalan hidup yang sebenar yang telah dinyatakan oleh
kitab-kitab yang diturunkan kepada mereka. Kita dapat lihat sendiri betapa para
nabi amat merasai betapa beratnya perintah beramanah ini. Oleh itu mereka
berusaha bersungguh-sungguh untuk melaksanakan tanggungjawab syahadah ini dan
menyampaikan risalah mereka. Mereka habiskan segala tenaga mereka untuk
melakukan sesuatu yang tidak mungkin dapat dilakukan oleh manusia biasa.
Akhirnya dengan kehendak Allah, mereka berjaya melaksanakan tanggungjawab
mereka dan memastikan hujah Allah mengatasi hujah manusia tanpa memberi ruang
kepada manusia zalim dan takbur yang enggan menerima dakwah dan menentang
ayat-ayat Allah serta hari akhirat, untuk mereka memberi alasan di hadapan
Allah yang Maha Kuasa di hari akhirat kelak di hari di mana Allah katakan
kepada mereka:
"Ini
ialah hari memutuskan hukum untuk memberi balasan yang dahulu kamu
mendustakannya." (Al-Syaffaat: 21)
Seterusnya,
orang-orang yang menerima dakwah melalui para utusan Allah ini, orang-orang
yang memahami jalan yang benar seperti yang diajar oleh para nabi a.s., Allah
pilih pula mereka untuk mewarisi tanggungjawab ini (tanggungjawab syahadah ini)
dan mengambil alih peranan para nabi bagi memikul tanggungjawab ini. Mereka ini
akan bertanggungjawab di hadapan Allah dan di hadapan manusia di bumiNya.
Apabila mereka melaksanakan tanggungjawab syahadah ini dengan bersungguh-sungguh
mereka akan menerima ganjaran daripada Allah, tidak kira sama ada manusia
menerima atau menolak dakwah mereka. Allah akan memberi ganjaran kepada manusia
berdasarkan kebaikan yang telah mereka amalkan dan Allah akan hukum mereka
berdasarkan kejahatan dan amalan buruk mereka. Namun jika mereka cuai dalam
melaksanakan tanggungjawab ini atau bertindak zalim dengan memutar belitkan
kebenaran sehingga yang benar menjadi palsu dan palsu menjadi benar, nescaya Allah
akan menghukum mereka terlebih dahulu daripada orang lain kerana kecuaian dan
pendustaan mereka. Allah bukan sahaja akan hukum mereka kerana apa yang mereka
lakukan malah Allah akan hukum mereka kerana apa yang dilakukan oleh orang lain
yang sesat akibat kecuaian mereka tidak melaksanakan tanggungjawab mereka atau
akibat tindakan mereka yang mengubah jalan yang benar melalui syahadah dusta
mereka. Kita tidak boleh berada di dalam Al-Kahfi selama-lamanya dan membiarkan
orang di sekeliling menjadi sesat tanpa berbuat apa-apa. Walaupun Allah mampu
memberi petunjuk kepada setiap seorang penghuni di mukabumi ini, namun kita
mestilah mengikut sunnah para nabi dan rasul iaitu MENYAMPAIKAN.
Sidang
hadirin sekalian, inilah dia tanggungjawab syahadah yang telah diwajibkan
kepada kita semua, kepada orang-orang yang mengaku sebagai ummah Islam,
orang-orang yang memiliki Kitab Allah dan orang-orang yang menerima hidayah
melalui perantaraan para nabi dan nabi yang terakhir, nabi yang buta huruf dan
berbangsa Arab.
Pembahagian
Syahadah
Kini
marilah kita bersama-sama melihat apakah jalan yang sebenar bagi melaksanakan
tanggungjawab syahadah ini? Saudara, syahadah ini wujud dalam dua bentuk iaitu
dalam bentuk perkataan dan perbuatan.
Syahadah
Perkataan
Syahadah
dalam bentuk perkataan ialah kita menjelaskan kepada seluruh manusia tentang
kebenaran yang telah disampaikan kepada kita melalui perantaraan para nabi dan
para rasul. Kita jelaskan kepada mereka menggunakan lisan dan pena atau apa
sahaja cara dakwah dan sebarang media cetak, elektronik, internet atau radio
atau apa sahaja ciptaan manusia di kurun ini yang boleh kita manfaatkan. Kita
boleh gunakan segala cara ini dengan bantuan segala ilmu, teknik dan teori yang
lama dan moden yang telah dihasilkan melalui kajian dan analisa manusia.
Setelah itu kita kemukakan dakwah ini kepada seluruh manusia. Kita perkenalkan
agama yang telah Allah pilih sebagai Ad-Din cara hidup yang lengkap untuk
seluruh manusia. Kita huraikan kepada seluruh manusia tentang ajaran agama yang
benar ini. Kita bentangkan kepada mereka tentang ajaran dan pedoman agama ini
dengan tujuan mengajar manusia seluruh sistem hidup ini yang terdiri daripada tawhid
akidah, prinsip, akhlak, tamadun, kehidupan bermasyarakat termasuk semua
undang-undang dan langkah-langkah berbentuk amali dalam aspek ekonomi,
urusniaga, kehakiman, undang-undang dalam negeri, dasar am, pentadbiran dan semua
perkara yang membabitkan masalah yang dihadapi oleh manusia dalam kehidupan
mereka. Kita bentangkan semua perkara ini dengan disokong oleh hujah dan bukti.
Kita buktikan bahawa semua ini adalah betul dan tepat berdasarkan keterangan
dan bukti. Di samping itu, kita mengkritik segala teori dan ideologi yang
bercanggah dengan kebenaran ini dengan kritikan yang jujur berlandaskan
teori-teori ilmu dan kajian agar tidak timbul lagi sebarang keraguan dan segala
kebenaran akan jelas terpampang.
Namun
demikian perlu diingat syahadah dalam bentuk perkataan ini tidak akan dapat
direalisasikan atau dapat terlaksana melainkan jika seluruh umat ini saling
bekerjasama merealisasikannya. Seluruh umat ini mestilah bergabung untuk
membimbing seluruh manusia dan memimpin mereka dan menjadikan kebenaran ini
sebagai matlamat hidup mereka, menjadikan kebenaran ini satu-satunya tumpuan
yang tidak pernah lekang daripada ingatan mereka seperti yang telah dilakukan
oleh para nabi dan rasul ketika melaksanakan tanggungjawab mereka yang tidak
pernah alpa untuk membimbing manusia walau sekelip mata. Dalam melaksanakan
kewajipan ini adalah perlu langkah ini menjadi paksi yang memusatkan seluruh
usaha dan seluruh tindak-tanduk kita. Langkah ini perlu menjadi fokus yang menggemblengkan
seluruh kekuatan moral, mental, fizikal dan material yang kita miliki. Langkah
ini juga perlu menjadi objektif atau matlamat utama kita dalam apa jua kerja
dan usaha yang kita lakukan. Namun jika wujud di kalangan kita mereka yang
dengan jelas melaungkan kesesatan dan menentang kebenaran, ia merupakan suatu
keadaan yang tidak dapat diterima oleh sebuah masyarakat yang menjadikan Syahadah
Al-Haq ini sebagai satu-satunya fokus dan tumpuan mereka, jika benar masyarakat
itu jujur dengan dakwaan mereka.
Syahadah
Perbuatan
Syahadah
dalam bentuk perbuatan pula bermaksud kehidupan seharian kita mestilah menjadi
cermin yang membiaskan dasar dan prinsip yang kita yakini dan kita laungkan.
Dalam melaksanakan kewajipan ini sebenarnya ia tidak cukup dengan hanya kita
memperdengarkannya kepada manusia dan menyebutnya dengan memuji serta
mengagung-agungkannya. Sebenarnya apa yang dapat mempengaruhi dan memikat jiwa
manusia ialah apabila mereka melihat dengan mata mereka sendiri kebaikan ajaran
agama ini yang sering kita perkatakan dan kita tonjolkan melalui perbuatan kita
sepanjang hidup kita. Apa yang dapat menarik manusia supaya menerima dakwah ini
ialah apabila mereka dapat rasakan melalui pergaulan mereka dengan kita, suatu
nilai akhlak dan amanah yang disemai oleh iman di dalam hati pemiliknya.
Nilai-nilai ini akan membesar dan membuahkan hasil.
Mereka
dapat melihat sendiri dengan mata mereka contoh-contoh manusia soleh yang
dilahir dan dididik oleh agama ini. Mereka dapat melihat sebuah masyarakat yang
adil dan melaksanakan segala prinsip agama ini. Inilah caranya bagaimana
manusia akan tertarik untuk berada di bawah bumbung agama yang benar ini.
Mereka akan bernaung di bawah satu panji jika mereka dapat melihat sebuah masyarakat
yang soleh dan suatu budaya yang murni terpampang di hadapan mata mereka.
Mereka dapat lihat bagaimana elemen budaya, ilmu dan seni berkembang di dalam
persekitaran masyarakat ini dengan berlandaskan prinsip Islam yang sejati dan
abadi. Mereka dapat melihat bagaimana wujudnya suatu sistem ekonomi yang adil
dan bersih daripada segala percakaran dan manipulasi yang kejam.
Malahan
manusia secara semulajadinya akan tertarik untuk berada di bawah lembayung
agama ini apabila mereka melihat sendiri bagaimana masyarakat yang berada di
bawah naungan lembayung ini (lembayung agama). Di mana setiap sudut hidup
mereka baik bersifat individu mahupun masyarakat semuanya berlandaskan akhlak yang mulia dan membawa
kebaikan untuk seluruh bangsa manusia. Inilah yang dikatakan sebagai syahadah
dalam bentuk perbuatan dan inilah ciri-cirinya. Jelas di sini, syahadah ini
tidak mungkin dapat dilaksanakan melainkan setelah kita, sebagai individu atau masyarakat
menjadikan diri kita sebagai contoh yang jelas kepada agama kebenaran yang kita
laungkan ini, dalam bentuk perbuatan, dalam bentuk yang dapat dilihat kesannya
dalam dunia realiti. Ini dapat dilakukan apabila amalan setiap individu ummah
ini menjadi saksi kepada kebenaran dakwah ini dan akhlak mereka menjadi saksi
kepada kemurnian dakwah ini. Setiap rumah kita diwarnai oleh ajaran agama yang
agung ini. Setiap gedung perniagaan dan setiap kilang kita disinari sinar
hidayahnya. Setiap sekolah dan setiap institusi pengajiannya diterangi oleh
cahayanya yang bergemerlapan. Setiap hasil sastera dan setiap akhbar kita
menjadi wacana yang mengungkapkan keindahannya dan menjadi lidah yang mematikan
hujah sesiapa sahaja yang cuba menolak kebenarannya. Demikian juga dengan dasar
negara dan budaya masyarakat kita, seluruhnya menjadi contoh jelas kepada jalan
lurus yang kita lalui, jalan yang kita mahu supaya seluruh manusia melaluinya
dan bersama dengan prinsipnya.
Ringkasnya,
sesiapa sahaja yang bergaul dengan kita baik individu mahupun masyarakat, sesiapa
sahaja yang berurusan dengan kita dalam apa jua sudut akan mendapati setiap
tingkah laku dan tindakan kita baik yang lahir daripada individu mahupun
daripada masyarakat akan menjadi contoh dan saksi bahawa segala prinsip yang
kita laungkan sebagai suatu yang benar dan disokong oleh kitab dan wahyu ini
sememangnya benar dalam realiti hidup. Kehidupan manusia juga akan berubah
menjadi lebih baik dan bertamadun apabila prinsip ini diamalkan dan menjadi
landasan hidup mereka. Namun jangan kita rasakan syahadah dalam bentuk
perbuatan ini sudah cukup menandakan kita telah melaksanakan segala
tanggungjawab kita dan kita mampu berhadapan dengan Allah di akhirat kelak.
Tidak,
sebenarnya syahadah ini tidak akan lengkap dan tidak akan terhasil melainkan
setelah terbentuknya sebuah negara yang tertegak berlandaskan prinsip Al-Qur’an
seperti yang dinyatakan secara jelas oleh agama ini. Sebuah negara yang meletakkan usaha memartabatkan
agama ini sebagai matlamatnya. Sebuah negara yang menjadikan pelaksanaan
syariah Allah sebagai objektif dan misi utamanya. Sebuah negara yang
merealisasikan sebuah negara Islam yang diimpikan. Di mana negara dan rakyatnya
ditadbir dengan berlandaskan dasar yang adil, bersepadu dan bersumberkan
seluruh teras agama. Malah negara Islam ini dapat dilihat melalui nilainya yang
adil, dasar-dasar pembaharuannya, corak pentadbirannya, keamanan dan
keharmonian yang diberikan kepada rakyatnya, langkah-langkah pemulihan yang
dijalankannya, akhlak mereka yang terlibat dalam pentadbirannya, keteguhannya
berpegang kepada kebenaran, kejujuran, amanah dan bersih dalam dasar yang
dilaksanakan di dalam dan luar negara, dalam menentukan status aman dan perang.
Semua suasana ini dapat dilihat dalam negara idaman ini hingga menyebabkan
semua lapisan masyarakat akan bersuara: “Demi sesungguhnya, agama yang dapat
membentuk dan membangunkan sebuah negara seperti ini sudah tentu agama yang
pasti akan membawa kebahagiaan kepada seluruh manusia dan membawa penganutnya
ke arah kejayaan di dunia dan di akhirat.” Apabila syahadah seperti ini digabungkan dengan
syahadah dalam bentuk perkataan, sudah tentu hujah Allah mengatasi hujah manusia.
Ketika itu kita tidak akan dipersoalkan lagi tentang tanggungjawab yang telah
diletakkan di bahu umat Islam. Ketika itu, umat ini boleh bersuara mengikuti
jejak Rasulullah s.a.w. di hadapan Allah,
Pemilik
yang Maha Kuasa, Maha Suci segala namaNya: “Kami telah sampaikan kepada seluruh
penduduk bumi ini apa yang telah disampaikan kepada kami, tanpa mengenal erti
penat lelah. Kami tidak bertanggung jawab terhadap mereka yang masih tidak mahu
menerima kalimah hak dan enggan mengikut cara hidup sebenar yang diredai oleh
Allah. Mereka sebenarnya menzalimi diri sendiri dan mereka menurut jalan yang
sesat kerana kezaliman dan keangkuhan mereka sendiri.”
Syahadah
dan Realiti Ummah
Syahadah
dalam bentuk perkataan dan perbuatan yang perlu kita laksanakan ini adalah
semata-mata kerana kedudukan kita sebagai orang Islam dan orang yang beriman
dengan Allah, orang yang bangga dengan Islam dan iman. Saudara, marilah bersama
kami untuk melihat dengan lebih mendalam, apakah kita benar-benar telah
melaksanakan tanggungjawab yang besar ini? Kita mulakan dengan syahadah dalam
bentuk perkataan. Jika anda perhatikan keadaan umat Islam hari ini dan anda
paparkan akhlak dan tingkah laku mereka, anda pasti akan dapati bahawa mereka
yang mengaku sebagai Islam melalui lidah atau pena mereka, sama ada sebagai
individu atau sebagai sebuah masyarakat sebenarnya amat sedikit. Sementara
mereka yang benar-benar melaksanakan tanggungjawab syahadah ini seperti yang diperintahkan
oleh Allah dan rasulNya boleh dibilang dengan jari. Jika anda kecualikan jumlah
yang sedikit ini anda akan lihat umat Islam yang mengaku sebagai Islam melalui
lidah mereka sebenarnya telah mencemar nama baik agama ini di hadapan jiran
mereka yang berlainan agama dan negara kerana akhlak mereka yang buruk dan
tingkah laku mereka yang tidak senonoh.
Jika
anda mahu melihat lebih mendalam sila perhatikan umat Islam yang memiliki
tanah. Mereka ini mengakui bahawa undang-undang pusaka yang digubal oleh Allah
di dalam kitabNya merupakan suatu undang-undang yang tidak berguna sebaliknya
amalan jahiliyyah yang mereka warisi daripada nenek moyang mereka daripada
British lebih sesuai dan lebih baik untuk diamalkan. Sila lihat pula para hakim
dan peguam yang hari-hari mengakui bahawa undang-undang Islam adalah tidak
betul dan tidak dapat dilaksanakan.
Menurut
mereka teori asas syariat Islam iaitu yang diturunkan oleh Allah, pada asasnya
adalah tidak betul. Menurut mereka lagi, undang-undang manusia yang digubal
oleh manusia seperti kita ini lebih sesuai untuk diamalkan dan dilaksanakan
dalam setiap urusan. Begitulah juga apabila anda perhatikan apa yang berlaku di
peringkat universiti, kolej dan institusi pengajian tinggi termasuk pentadbir
dan pensyarah-pensyarahnya, mereka mengakui bahawa segala teori yang dihasilkan
oleh ilmuwan Eropah dalam bidang falsafah, sejarah, sains, ekonomi, politik,
undang-undang, akhlak dan segala teori yang lahir daripada fahaman materialisme
Eropah lebih dianggap logik dan disokong oleh kajian sains. Sementara pandangan
Islam dalam bidang ilmu dan teori-teori tersebut tidak langsung diambil kira
oleh para pensyarah dan profesor universiti kita. Demikian juga apabila anda
perhatikan pengakuan para sasterawan melalui hasil karya mereka atau hasil
pemikiran mereka yang menunjukkan mereka tidak mempunyai nilai sastera atau
budaya tersendiri yang dapat mempengaruhi dan mencorak hasil sastera mereka
melainkan pengaruh yang dibawa oleh sasterawan Inggeris, Perancis dan Rusia.
Bagi mereka idea Islam yang selama ini melimpah ruah telah kering kontang.
Alangkah dahsyatnya pengakuan ini.
Mudah-mudahan
Allah memelihara kita daripada akibat buruk semua ini.
Dalam
masa yang sama akhbar dan majalah kita juga menyerupai akhbar dan majalah bukan
Islam. Segala isu, kandungan dan dakyahnya tidak jauh berbeza. Selepas itu sila
lihat para peniaga dan pengusaha, sepanjang siang dan malam melalui cara dan
kaedah urusniaga yang mereka jalankan menunjukkan mereka mengakui bahawa undang-undang
yang disyariatkan oleh Islam seperti kontrak, jual beli dan peraturan-peraturan
yang telah ditetapkan oleh Islam bagi urusniaga yang dijalankan di pasar dan
premis perniagaan adalah suatu yang mustahil untuk dilaksanakan pada hari ini.
Tidak ada
cara lain bagi para peniaga dan para pengusaha yang menjalankan urusniaga di
premis perniagaan kecuali menggunakan cara yang salah yang digunakan oleh orang
yang tidak berpegang dengan agama yang benar, mereka yang tidak beriman dengan
Allah dan hari akhirat. Sementara
itu, para pemimpin kita dan juga mereka yang menentukan polisi ummah ini pula
hanya memahami semangat kebangsaan atau semangat perkauman. Cara dan kaedah
yang digunakan dalam menyelesaikan sesuatu isu nasional atau isu yang berkaitan
dengan perlembagaan dan dasar sama sepertimana yang digunakan oleh orang-orang
kafir. Malah mereka dengan jelas menyatakan bahawa Islam tidak mempunyai
apa-apa yang boleh dijadikan sebagai panduan atau cahaya yang dapat menerangi sebarang
krisis antarabangsa berkaitan dengan perlembagaan dan dasar-dasar penting. Dalam masa yang sama, rakyat atau golongan majoriti ummah pula secara zahir
membuat pengakuan melalui lidah mereka bahawa tumpuan mereka hanya berlegar
sekitar soal keduniaan. Seolah-olah mereka tidak pernah dikurniakan oleh Allah
sebarang agama yang boleh menjadi bahan perbualan mereka atau boleh mengisi
masa mereka untuk mereka bincangkan. Inilah pengakuan lisan yang dilakukan oleh
umat Islam hari ini di negeri kita ini dan di seluruh tempat di muka bumi ini.
Syahadah
dalam bentuk perbuatan pula lebih buruk dan lebih dahsyat mencemar kesucian
Islam. Kita tidak nafikan bahawa umat ini masih mempunyai beberapa orang tokoh
yang baik. Orang-orang yang mempamerkan ajaran dan keindahan Islam dalam
seluruh cara hidup, akhlak dan pergaulan mereka.
Namun
jumlah mereka ini terlalu kecil. Sementara majoriti umat ini pula masih belum
keluar malah masih terus menerus terjun ke dalam lembah kehinaan. Apa yang
jelas melalui peribadi umat Islam dan melalui akhlak mereka menunjukkan bahawa
orang-orang yang terdidik dan membesar dalam asuhan Islam tidak berbeza sama
sekali dari segi akhlak dan peribadinya dengan orang-orang yang membesar dan
dididik oleh jahiliyyah. Mereka tidak jauh berbeza dari segi tingkah laku.
Mereka
juga tidak jauh berbeza dari segi adab dan amanah mereka. Malah apa yang lebih
menyedihkan ialah orang-orang yang terdidik dan membesar dalam asuhan Islam ini
lebih dahsyat dan lebih teruk melakukan maksiat dan kesalahan berbanding
orang-orang kafir masa kini. Orang Islam di zaman kita ini, walaupun hati kami
hancur luluh sedih untuk menyatakan perkara ini, namun hakikatnya mereka banyak
melakukan pembohongan, penipuan, penindasan dan penyelewengan. Mereka juga
mampu untuk melanggar batas iman mereka. Mereka boleh mencuri, merompak,
menyerang, merampas harta dan membuat huru-hara. Mereka tidak malu untuk
membuat maksiat, melakukan angkara yang keji dan hina. Keadaan mereka sama
sahaja dengan penganut-penganut agama-agama lain yang bertaburan di seluruh muka
bumi ini. Kejahatan mereka sama sahaja. Malah tidak cukup setakat itu sahaja,
seluruh cara pergaulan kita, makan kita, minum kita, keramaian kita, adat resam
kita bersama keluarga dan dalam majlis perkahwinan, majlis kematian, perayaan
kita, perhimpunan kita dan perarakan kita, semuanya menurut acuan jahiliyyah
tradisi dan moden, bercampur aduk. Cuba sebutkan, adakah anda lihat apa-apa
yang boleh melambangkan adab-adab dan akhlak Islam seperti yang diajar oleh
pembimbing dan pemimpin kita, Nabi Muhammad s.a.w.? Ringkasnya, setiap sudut
kehidupan masyarakat kita bercanggah sama sekali dengan Islam. Malah seluruh
manusia dan seluruh alam ini telah membuat kesimpulan bahawa penganut Islam
sendiri lebih memilih jahiliyyah berbanding Islam, agama sebenar yang
menyebabkan mereka lebih dimuliakan oleh Allah berbanding manusia lain. Adakah
pada pandangan kamu mereka telah membuat kesimpulan yang silap mengenai cara
hidup kita dan tindakan kita ini? Tidak mungkin kita mengatakan mereka silap, sedangkan
kita memang menurut segala langkah jahiliyyah. Kita sendiri meniru segala
budaya barat dan terpengaruh dengan kehebatan mereka. Malah apabila kita mahu
dirikan sebuah sekolah atau sebuah kolej kita akan rujuk segala ilmu dan
sukatan pelajarannya daripada orang-orang yang kufur dengan Allah dan rasulNya.
Apabila kita mahu menubuhkan sesuatu pertubuhan, kita akan letakkan segala
matlamat, peraturan asas dan rangka kerjanya sama seperti pertubuhan
orang-orang kafir, sama tiada bezanya. Apabila seluruh ummah bangkit melaksanakan
satu usaha yang penting atau bangun dengan suatu langkah atau mara dalam arena
perjuangan politik, segala tuntutan, cara perjuangan, dasar, pendekatan,
resolusi, ucapan dan kenyataan mereka tidak ubah seperti yang ditunjukkan oleh bangsa
kafir ketika berhadapan dengan situasi dan suasana yang sama. Ummah ini akan
menurut setiap jejak dan langkah mereka. Alangkah sedihnya melihat keadaan
negara Islam yang menikmati kemerdekaan atau autonomi, negara-negara yang
dipimpin oleh orang-orang yang menganut agama Islam namun negara-negara ini
mengamalkan dasar negara bukan Islam. Negara ini mencedok undang-undang dan
perlembagaan mereka daripada undang-undang kerajaan bukan Islam.
Malah
ada di antara negara Islam ini yang menyempitkan skop syariat Allah hanya dalam
ruang lingkup undang-undang kekeluargaan. Ada juga negara Islam yang bertindak
lebih jauh dengan meminda undang-undang kekeluargaan ini mengikut selera
mereka. Kelemahan ini telah disedari oleh musuh ketat kita. Mereka menyedari
sebahagian undang-undang yang diamalkan oleh kerajaan kita yang dilabelkan
sebagai Islam itu sendiri bercanggah dengan asas agama yang sebenar dan
bertentangan sama sekali dengan konsep syariat Islam yang bertoleransi. Seorang
yang bernama Lawrance Browne, menulis sebuah buku yang bertajuk The Prospects
of Islam dengan tujuan memburuk-burukkan umat Islam amnya dan umat Islam India
khasnya. Buku ini mengetengahkan kepada para pembaca di Timur dan Barat tentang
sikap umat Islam yang menolak undang-undang mereka sendiri dan membelakangkan
sendiri cara hidup mereka yang mereka dakwa wajib diamalkan. Di sini dinyatakan
apa yang ditulis oleh penulis tersebut dalam soal ini. Mudah-mudah ia menjadi
pengajaran dan peringatan kepada mereka yang masih prihatin atau masih boleh
mendengar dan melihat. “Kita
telah memansuhkan undang-undang jenayah dan sivil Islam di India kerana kita
merasakan undang-undang ini adalah undang-undang zaman purba yang tidak lagi
boleh diguna pakai di zaman ini. Cuma untuk umat Islam kita masih kekalkan
undang-undang kekeluargaan. Tindakan ini telah menyebabkan ummat Islam merasa
disakiti, kerana tindakan ini meletakkan umat Islam setaraf dengan ahli zimmi
dalam sebuah negara Islam dalam abad sebelum ini. Apabila masa berlalu dan
keadaan berubah, umat Islam India bukan sahaja selesa dengan undang-undang ini
malah beberapa kerajaan Islam yang lain telah mengikut jejak langkah kita. Ada
di antara kerajaan Islam ini seperti Turki dan Albania telah melakukan sedikit
pindaan kepada undang-undang perkahwinan, cerai dan pusaka hingga meletakkan
undang-undang mereka setanding dengan undang-undang kita. Tindakan seperti ini
telah mendedahkan kita kepada suatu hakikat yang sering dinafikan oleh umat Islam
iaitu akidah umat Islam yang menyatakan bahawa syariat Islam ini bersumberkan
wahyu Ilahi atau kitab yang diturunkan tidak lain hanyalah kisah khayalan atau
mitos sahaja.” Inilah
yang dinyatakan oleh penulis tersebut.
Inilah
pengakuan dalam bentuk perbuatan yang telah ditunjukkan oleh seluruh umat Islam
di seluruh rantau dan negara Islam. Walau apa sekalipun yang kita ucapkan atau
apapun dakwaan yang kita kemukakan tentang Islam dan iman kita namun ia
sebenarnya masih belum cukup untuk menjadi daya penggerak atau untuk menolak
segala penyelewengan ini. Sebabnya, seluruh amalan kita tidak ragu-ragu lagi
membuktikan bahawa amalan harian kita tidak memberi apa-apa sumbangan kepada
agama dan ajaran agama ini. Malah kerajaan kita dan mereka yang
bertanggungjawab secara khusus mahupun umum, semuanya melihat bahawa
undang-undang dan syariat Islam ini tidak membawa apaapa kebaikan kepada
mereka. Mereka tidak merasakan dengan melaksanakan undang-undang ini akan membuka
laluan mereka untuk memperolehi kejayaan.
Inilah
sebenarnya yang ditonjolkan oleh amalan, akhlak dan ucapan kita. Apa yang kita
lakukan ini sebenarnya menyembunyikan kebenaran dan menyokong kepalsuan. Allah
telah mengingatkan kita bahawa apa yang kita lakukan ini akan mengheret kita
kepada azab yang berat di dunia dan akhirat. Kita kini merasakan sendiri akibat
buruk keterlanjuran ini seperti yang pernah dirasai oleh umat-umat sebelum
kita. Di antara undang-undang yang Allah tetapkan di alam ini ialah apabila
sesuatu umat tidak bersyukur dengan nikmat Islam dan melanggar perintahNya,
Allah akan timpakan mereka kebuluran, ketakutan dan kehinaan di dunia dan
akhirat. Allah jadikan mereka sebagai pengajaran kepada seluruh manusia, dahulu
dan sekarang. Inilah yang telah dilakukan oleh Tuhan kamu kepada bangsa Yahudi.
Allah mengheret
mereka ke dalam kehinaan dan Allah laknat mereka. Allah timpakan mereka hukuman
yang berat dan tidak akan mampu dielak oleh mereka yang melakukan jenayah ini.
Hari ini kita umat Islam sedang dihadapkan di hadapan mahkamah Allah yang mampu
menampung seluruh isi bumi ini, di hari akhirat di mana segala perkara diadili
dengan saksama dan setiap orang dihukum menurut kesalahan mereka. Bangsa Yahudi
tidak mungkin dimurkai oleh Tuhan mereka tanpa apa-apa sebab.
Tidak
mungkin mereka dihukum, dihina dan diheret ke lembah yang terkutuk tanpa
apa-apa sebab. Kita sendiri tidak ada apa-apa yang dapat kita tunjukkan kepada
Allah yang Maha Agung dan kita juga tidak ada apa-apa hubungan dengan Allah
yang mungkin dapat menyelamatkan kita daripada dihukum kerana kesalahan yang
kita lakukan dan kita tidak mungkin akan diampunkan kerana kezaliman dan
keangkuhan kita ketika di bumi ini, begitu juga kerana kesesatan kita.
Suatu
hakikat yang tidak dapat dinafikan ialah setiap kali kita lengah dalam
melaksanakan tanggungjawab Syahadah Al-Haq ini atau kita cuai dalam
melaksanakan kewajipan ini, setiap kali kita bertindak menyokong kesesatan dan
tenggelam dalam kesesatan dan kesalahan, kita sebenarnya telah berundur ke
belakang dan kita akan ditimpa kelemahan. Kita juga akan dihimpit kehinaan dan kemunduran.
Anda boleh lihat negara-negara umat Islam yang terbentang dari Maghribi di
utara Afrika hinggalah ke Indonesia di Asia Tenggara, semuanya terlepas
daripada genggaman kita dalam masa satu abad iaitu pada abad ke tiga belas
Hijrah. Satu demi satu bangsa Islam dijajah dan menjadi kerdil hingga bangsa
asing menjajah negara mereka serta menguasai sepenuhnya urusan pentadbiran negara
mereka. ‘Muslim’ bukan lagi suatu panggilan yang melambangkan kegemilangan,
ketuanan dan kemuliaan seperti yang berlaku sebelum ini. Malah apa yang berlaku
adalah sebaliknya apabila panggilan yang suci ini bertukar kepada menjadi
panggilan yang melambangkan kehinaan, kemiskinan dan kemunduran. Kita kini
tidak lagi mampu mengangkat kepala kita di hadapan bangsa lain.
Kita
telah dihina dan ditindas dengan cara yang di luar jangkaan kita. Ada bangsa
Islam yang dibunuh kesemuanya. Ada umat Islam yang dihalau keluar dari negara
mereka sendiri. Ada umat Islam yang diseksa dengan seksaan yang berat, mereka
dihalau dan dijadikan hamba yang merempat di muka bumi. Sementara negara Islam
yang kerajaannya masih dikuasai oleh umat Islam tidak mampu berhadapan dengan
musuhnya dan tidak mampu memberikan tentangan yang setanding. Akhirnya kekalahan
demi kekalahan terpaksa dilalui. Kini anda lihat negara-negara ini begitu kecut
dengan kehebatan serangan bangsa asing. Segala strategi dan taktik yang
digunakan tidak mampu untuk menentang ancaman bangsa asing atau untuk
mendedahkan muslihat mereka. Demi sesungguhnya, jika wujud sebuah kerajaan
Islam yang tulen, istiqamah dan menggunakan jalan yang betul dalam segala dasar
dan urusan pentadbirannya, sebuah kerajaan yang melaksanakan tanggungjawab syahadah
dalam bentuk perkataan dan perbuatan, anda akan lihat segala kekuatan kufur
akan goyah gentar dengan kehebatan kerajaan ini, hati mereka gementar dengan
kekuatan kebenaran. Akal dan mulut mereka akan akur dan tunduk kepada keagungan
kalimah kebenaran. Jika anda mahu penjelasan yang lebih mendalam dan anda mahu
mengetahui akibat buruk kesan membelakangkan Syahadah Al-Haq, silalah sorot
kembali pandangan anda ke zaman silam. Lihatlah keadaan ketika diperintah oleh
Islam pada dua kurun sebelum ini hinggalah ke zaman kita ini.
Kesan
tidak bersungguh-sungguh melaksanakan tanggungjawab syahadah ini, terlalu sibuk dengan soal politik,
terlalu terpesona dengan kuasa yang dimiliki oleh kerajaan yang berkuasa, kesan
kita menyokong kesesatan, membelakangkan kebenaran, hanyut dalam kemungkaran
dan perbuatan keji, akibatnya seluruh negara ini terlepas daripada genggaman
kita. Kita terlalu
leka tenggelam dalam lautan syahwat dan sibuk memenuhi kehendak peribadi.
Akibatnya kita telah menerima pelbagai bentuk penindasan dan seksaan yang amat
menghinakan di bawah cengkaman Sistem Dajjal. Selepas itu kita terpaksa pula
akur dengan pemerintahan British yang memerintah dengan kuku besi dan menurut sesuka
hati mereka hingga keadaan berubah dan suasana kembali kucar-kacir.
Segala
unsur fanatik perkauman atau perselisihan atau fanatik keagamaan tidak dapat
menyekat kuasa suara kebenaran dan hujah ampuh yang dipertonton di hadapan mata
kepala mereka. Jika pada hari ini kamu dianggap kerdil, terdedah kepada segala
bahaya dan diancam tindakan yang menakutkan, ia sebenarnya adalah balasan atas
perbuatan kamu yang menidakkan kebenaran dan menyokong kesesatan.
Itu
adalah balasan apabila kita melupakan tanggungjawab dakwah ke arah kebenaran di
dunia ini. Di akhirat kelak akan ada hukuman yang lebih dahsyat dan lebih berat
berbanding penghinaan yang kita terima ketika di dunia yang fana ini. Semuanya
disebabkan oleh kealpaan kita dan keengganan kita menunaikan tanggungjawab
Syahadah Al-Haq. Saudara perlu sedar bahawa selagimana saudara tidak bersungguh-sungguh
melaksanakan kewajipan Syahadah Al-Haq ini, selagimana saudara tidak menegakkan
keadilan kerana Allah dan menerangkan kebenaran sepertimana yang Allah mahu saudara
lakukan, maka apa sahaja kesesatan dan pencerobohan di muka bumi ini, apa
sahaja amalan jahat dan buruk yang merebak di alam ini, dan apa sahaja angkara
keji dan kotor, maka saudara tidak akan terlepas daripada memikul tanggungjawabnya.
Saudara tidak akan dapat melepaskan diri daripada turut bertanggungjawab. Jika
saudara tidak turut sama memberi kesedaran tentang bahaya segala dosa dan
kemungkaran ini, sudah tentu saudara akan dihukum kerana kecuaian dan kerana ketidak
prihatinan saudara untuk melemahkan ancaman ini. Saudara akan dipersalahkan di
hadapan Tuhan kerana saudara tidak melakukan sebarang usaha untuk menyekat
segala kepincangan yang mencengkam negara ini. Saudara tidak mengisytiharkan
peperangan ke atas segala kepincangan ini walaupun Allah telah memerintahkan
saudara melakukannya.
Mudah-mudahan
dengan segala penjelasan ini tuan-tuan telah benar-benar memahami kewajipan syahadah
yang perlu kita laksanakan kerana kita adalah orang Islam yang beriman dengan
Allah, rasulNya dan hari akhirat. Mudah-mudahan kita benar-benar memahami
bahawa kita selama ini terlalu sibuk dan tenggelam dengan segala kesesatan dan
khayalan yang mempesonakan. Mudah-mudahan juga kita memahami bahawa segala
kecelakaan dan penghinaan yang kita terima di bumi yang fana ini, begitu juga
dengan pelbagai penindasan yang masih kita terima hingga ke hari ini adalah
akibat daripada kesilapan kita yang tidak melaksanakan kewajipan Syahadah
Al-Haq, akibat daripada kesilapan kita yang terlalu hanyut dengan keindahan
hidup yang sementara ini; kita terlalu leka dengan idea baru yang dijaja oleh
barat.
Jika
tuan-tuan teliti masalah ini dengan bersungguh-sungguh dan tuan-tuan kaji
hakikat sebenar masalah ini daripada perspektif ini, tuan-tuan pasti akan dapat
melihat dengan jelas sejelas mentari di siang hari bahawa segala masalah yang
dianggap oleh umat Islam hari ini sebagai masalah utama atau isu sebenar
malahan masalah tersebut diletakkan sebagai objektif nasional atau matlamat
utama negara, tuan-tuan dapat lihat bagaimana mereka berusaha siang dan malam
berhempas pulas untuk mencapai objektif tersebut dengan menggunakan kaedah yang
kebanyakannya diambil daripada bangsa asing dan meniru mereka bulat-bulat, jika
tuan-tuan perhatikan semua ini dengan bersungguh sungguh tuan-tuan akan fahami
dengan jelas bahawa semua masalah atau isu ini sebenarnya bukanlah masalah
utama mereka dan tiada hubungan langsung dengan objektif mereka sepertimana
yang digariskan oleh Allah. Langkah membelanjakan segala kekayaan dan
menggembleng segala kekuatan moral yang ada bagi mencapai hasrat tersebut atau
bagi mengatasi segala masalah tersebut sebenarnya merupakan langkah yang
membazir dan mensia-siakan kekuatan yang amat berharga ini sebaliknya hanya
mengundang kemurkaan dan bala Allah.
Bagaimana
pula bangsa yang tertindas mampu mempertahankan kemerdekaan dan kebebasan
mereka, atau mampu mempertahankan diri daripada angkara golongan yang zalim?
Bagaimana pula sebuah bangsa yang ditindas mampu mengembalikan hak-hak mereka yang
telah dirampas dan kemudian mampu menikmati hidup yang selesa seterusnya mampu menggembleng
kekuatan kebendaan mereka untuk menandingi bangsa-bangsa yang kuat dengan kekuatan
yang seimbang?
Kesemua persoalan
ini atau yang seumpama dengannya mungkin menjadi suatu persoalan yang amat penting
dan mendapat tumpuan utama bagi masyarakat bukan Islam. Malah persoalan ini
menjadi paksi yang bakal menggembleng segala usaha mereka. Persoalan ini akan
menjadi objektif di mana segala usaha dan perjuangan mereka akan dipusatkan ke
arahnya dan mereka menanti dengan penuh harapan. Namun demikian bagi kita umat
Islam segala persoalan ini bukanlah masalah-masalah yang berlainan antara satu
sama lain sebaliknya semuanya itu merupakan akibat kepada kelalaian yang tidak sepatutnya
kita lakukan dan telah menyelubungi kita semenjak berabad lamanya. Masalah ini merupakan
akibat buruk kesan tindakan kita yang sejak sekian lama malah sehingga ke hari
ini masih mengabaikan segala tanggungjawab kita yang sebenar, tanggungjawab
yang perlu menjadi tumpuan untuk kita capai. Jika kita laksanakan segala tugas
yang sepatutnya kita laksanakan ini sudah tentu pada hari ini kebanyakan
masalah rumit yang tiada penghujungnya ini tidak akan timbul. Tidak akan timbul
segala masalah yang telah sekian lama mencengkam jiwa ini dan hampir-hampir
mematikan kekuatan moral kita. Demi sesungguhnya, jika kita memahami fenomena
hari ini, kita menyedari hakikat apa yang berlaku ini dan kita melangkah dengan
satu langkah baru bagi mencapai objektif kita yang sebenar dan kita arahkan
segala tumpuan kita ke arah matlamat yang kita impikan ini dengan tidak lagi
menoleh ke kiri dan kanan atau mempedulikan apa sahaja yang merintangi laluan
kita atau apa sahaja masalah yang bakal menghalang kita daripada melaksanakan
tugas sebenar kita ini atau apa sahaja masalah yang boleh menggugat kita dalam
melaksanakan dakwah dan tanggungjawab syahadah ini, jika kita melangkah dengan
suatu usaha yang bersungguh-sungguh dan kita gembleng segala tenaga yang ada sudah
tentu segala kegelapan yang menyelubungi kita hari ini akan tersingkap, segala
masalah yang selama ini mencengkam jiwa kita akan terlerai. Sebabnya, sebagai
umat Islam kita telah dijadikan oleh Allah sebagai lampu yang menyuluh
kejahilan dan sebagai cahaya yang menerangi kealpaan dan kesesatan. Kita
sebenarnya bertanggungjawab terhadap kesesatan alam ini, apabila manusia tenggelam
dalam lembah kezaliman. Apabila kita alpa dengan segala tanggungjawab kita,
apabila kita lupa dengan peranan yang perlu kita mainkan sebaliknya kita leka
dengan hiburan dunia yang hina ini, muka bumi ini akan dilanda dengan segala
kezaliman dan pencabulan. Alam ini akan diselubungi kejahilan, kezaliman,
kemaksiatan dan dosa. Sudah tentu saham kita akibat daripada segala malapetaka
serta segala kecelakaan dan penghinaan ini lebih besar berbanding orang lain.
Ini tidak memeranjatkan kerana orang yang bertanggungjawab perlu memikul
kesalahannya dan kesalahan orang yang berada di bawah bidang kuasanya yang
sepatutnya diberikan bimbingan.
Kerana
kita orang-orang Islam yang Aman adalah Khalifat-khalifat Allah di muka bumi!
Ruginya
dan amat-amat rugi apabila ulama dan pemerintah Islam sendiri tidak langsung memahami
hakikat yang jelas nyata ini. Mereka masih mengajak bangsa mereka supaya
meyakini bahawa masalah sebenar yang perlu mereka perhatikan, masalah yang
perlu mereka tumpukan dan perlu diusahakan secara bersungguh-sungguh ialah masalah
kaum, masalah kemerdekaan negara, masalah mengekalkan identiti bangsa dan
kekuatan kebendaan. Demikianlah bagaimana mereka mengajak saudara-saudara se-Islam
mereka supaya turut sama menggunakan kaedah dan prosedur yang mereka terima
daripada bukan Islam bagi menyelesai dan merungkai segala masalah yang mereka
hadapi. Mengapa mereka seolah-olah tidak dapat membezakan antara tabiat dan
ciri Islam dengan tabiat dan ciri kufur. Demi Allah yang memegang nyawa ini, kami amat
memahami dengan jelas hakikat ini, segala cara dan pendekatan ini merupakan
cara yang digunakan oleh golongan kufur dan kemudian elemen-elemen ini diikuti
oleh para pemimpin kamu dan orang-orang yang menerajui urusan kamu. Mereka ini
telah tersesat dan kemudian menyesatkan ramai manusia, memimpin manusia jauh
daripada jalan yang sebenar. Jika tuan-tuan masih menggunakan jalan yang
bersimpang siur ini, jalan yang sesat ini dan tuan-tuan tidak mahu menggunakan
jalan yang lurus, tuan-tuan tidak akan mampu mencapai apa yang dicitakan dan
tuan-tuan tidak akan beroleh apa-apa petunjuk dan kejayaan di dunia dan
akhirat. Adalah menjadi tanggungjawab kami untuk kami jelaskan masalah ini
kepada tuan-tuan.
Kami
akan jelaskan masalah ini dan kami akan huraikan masalah utama hidup tuan-tuan
yang ada kaitannya dengan masa depan tuan-tuan di dalam hidup di dunia dan di
akhirat. Agar tuan-tuan benar-benar memahami masalah tuan-tuan dan hakikat yang
sebenar. Apa yang jelas berdasarkan pengetahuan dan ilmu yang Allah berikan,
saya yakin bahawa masa depan kamu di dunia ini dan kehidupan kamu di akhirat
kelak berlegar dalam satu masalah iaitu bagaimana kamu menangani soal hidayah
yang telah disampaikan kepada kamu oleh Nabi s.a.w. yang buta huruf dan
berbangsa Arab; Hidayah yang kamu imani dan kerana hidayah ini jugalah kamu
diterima sebagai umat Islam. Sama ada kamu setuju atau tidak, hidayah ini telah
meletakkan kamu sebagai utusan Islam ke seluruh alam. Seluruh manusia akan
melihat agama yang benar ini melalui kamu. Jika kamu berpegang teguh dengan
hidayah ini dan kamu tunjukkan syahadah yang sebenar melalui perkataan dan
segala amalan yang kamu lakukan dengan bersungguh-sungguh seperti yang
diperintahkan oleh Allah dan rasulNya, apabila akhlak dan nilai Islam jelas
terpampang melalui cara hidup kamu dalam masyarakat dan dalam pergaulan kamu
dengan imej yang sungguh indah dan menarik, itulah sebenarnya kejayaan dunia
dan akhirat. Ketika itu tuan-tuan tidak akan lagi melihat awan mendung yang
berarak membawa ketakutan, putus asa dan kehinaan yang selama ini menyelubungi
hati nurani tuan-tuan. Semuanya hanyalah umpama awan yang berarak pada musim panas
yang tidak berapa lama lagi akan hilang.
Kamu
akan perhatikan bagaimana dakwah kamu yang benar ini dan akhlak kamu yang tulus
ini akan mula mempengaruhi manusia dan akan mula meresap kedalam hati dan
fikiran manusia yang matang. Seluruh alam akan mengakui sifat amanah, bersih
dan luhur yang ada pada kamu. Mereka akan menaruh harapan pada kamu dan
mengharapkan kamu melayan mereka dengan adil dan saksama. Mereka akan
berkeyakinan dengan kamu dan ketelusan kamu ketika berurusan dengan mereka.
Tuan-tuan akan melihat seluruh manusia akan bersandar kepada kata tuan-tuan.
Mereka akan merujuk segala perselisihan mereka kepada kata tuan-tuan dan mereka
akan bergantung sepenuhnya kepada tuan-tuan. Pada ketika itu, pemimpin yang
kufur dan sesat tiada nilai lagi. Segala asas falsafah, politik dan ekonomi mereka
akan goyah. Segala tipu helah mereka akan terbongkar apabila berhadapan dengan
kejujuran kamu dan cara hidup kamu yang istiqamah. Segala kebenaran dan
kepalsuan, segala yang tiruan dan yang asli akan dapat dibezakan dengan jelas,
dengan perbezaan yang amat ketara. Segala kekuatan dan keupayaan yang pada hari ini anda lihat berpihak kepada
barisan kufur dan bernaung di bawah panji mereka, anda akan lihat semuanya akan
berpecah dan terlerai satu demi satu untuk menyertai barisan Islam dan bernaung
di bawah panji Islam.
Hinggalah akan datang suatu masa ketika mana sosialisme sendiri akan merasa takut
di dalam kubu mereka sendiri, takut dengan nasib sendiri. Kapitalisme pula akan
merasa gementar di dalam tanah tumpah darah mereka sendiri, takut mereka akan lenyap
dan kehilangan kuasa. Universiti-universiti di London dan Paris tidak mampu
lagi bertahan sebagai pusat kepercayaan menentang Tuhan dan pusat falsafah
kebendaan. Malah tidak wujud lagi mereka yang menyokong fahaman fanatik
perkauman dan semangat kebangsaan yang wujud dalam komuniti Brahma dan Jerman.
Pada
hari itu fajar akan menyingsing mengingatkan kita masa silam di masa kita
melupakan kewajipan kita dan kita leka menunaikan tanggungjawab kita. Hari itu
mengingatkan kita hari-hari silam dengan hati yang bercampur baur antara suka
dan duka. Kita himbau sesama kita dan kita sampaikan buat generasi mendatang
bahawa pernah suatu ketika di mana pembawa panji Islam sentiasa merasa ketakutan
apabila melihat kehebatan kuasa barat di sekeliling mereka. Hanya iman mereka
menjadi penawar kepada segala penyakit dan menjadi penyelamat daripada segala
kejahatan. Inilah yang dapat saya lihat pada masa depan kamu yang gemilang
dengan syarat kamu menyerahkan diri kepada Allah dengan sebenar-benar ikhlas
demi agamanya dan kamu menegakkan keadilan demi Allah dan mendokong kebenaran
sepertimana yang Allah mahukan. Jika kamu lakukan sebaliknya, kamu ubah segala
kebenaran, kamu tidak ubah seperti orang yang memiliki simpanan yang berharga tetapi
tidak mahu menggunakannya dan tidak membenarkan orang lain memanfaatkannya,
kamu mendakwa sebagai muslim dan kamu gunakan nama Islam, kamu tonjolkan imej
kamu di hadapan seluruh manusia sebagai seorang pendokong Islam dan penegak
panji Islam, tetapi melalui perkataan dan perbuatan umum kamu mendokong
kesesatan, kamu sokong amalan jahiliyyah, syirik, maksiat dan kamu tenggelam
dalam arus dunia yang hina, kecuali segelintir sahaja yang terselamat.
Kitab
Allah ada bersama kamu, di dalam dada kamu, di rumah kamu, di sekolah kamu, di
perpustakaan kamu, tetapi rugi kerana seluruh umat ini lebih mudah merujuk dan
mendapat bimbingan pemimpin-pemimpin kufur dan sesat. Kamu mendakwa menyembah
Allah tetapi kamu menyerahkan seluruh hidup kamu kepada Taghut yang disembah
pada kuasanya, bukan kepada Allah. Kamu bersahabat dan bermusuh semata-mata kerana
kepentingan peribadi untuk kepentingan diri sendiri. Kamu melaungkan Islam dan
kamu gunakan nama Islam semata-mata untuk menipu manusia dan supaya kamu
memperolehi keuntungan dunia.
Ringkasnya
kamu tidak laksanakan segala kewajipan syahadah ini sebaliknya kamu lakukan sebaliknya,
kamu ubah kedudukan sebenar dan kamu lakukan sepertimana orang yang menolak
sama sekali kebaikan agama yang jelas ini, orang yang menolak keberkatan agama
ini yang sentiasa melimpah ruah. Apatah lagi mereka memisahkan seluruh manusia
daripada menerima sumber air yang bersih, yang telahpun mereka cemari puncanya;
mereka cemari dengan akhlak dan tingkah laku mereka yang buruk. Jika kamu masih
mahu menempuh jalan yang berliku ini dan kamu memilih untuk bersama kenderaan
yang buruk ini, kamu sebenarnya kerugian di dunia dan akhirat. Kami memohon
moga Allah menjauhkan kami daripada bencana ini. Ini adalah sunnah Allah yang
telah ditetapkan pada ciptaanNya dan tiada siapa yang mampu mengubahnya. Kamu
sendiri telah saksikan dengan mata kepala kamu sendiri akibat bala dan
kemurkaan Allah yang telah kamu lalui dan sehingga kini kamu masih merasainya
sepanjang hidup di dunia ini. Tiada siapa tahu apa akan berlaku pada kamu pada
masa akan datang. Mungkin apa yang akan berlaku lebih dahsyat daripada hari
ini.
Sebenarnya
jika kamu tanggalkan segala nilai Islam yang kamu pakai hanya semata-mata untuk
mengelabui mata manusia sebaliknya kamu tonjolkan kekufuran kamu, sudah tentu
kedudukan kamu di dunia ini akan lebih baik dan kamu akan dapat menikmati
segala kesenangan di dunia ini sama seperti yang dinikmati oleh penduduk dan
pemimpin di Amerika, Rusia dan Britain. Sementara jika kamu mengaku sebagai
Islam kemudian menyokong kekufuran atau kamu mendakwa sebagai Islam kemudian
kamu mencemar nama baik Islam di hadapan mata masyarakat dunia melalui
pengakuan palsu kamu dan kamu menutup segala pintu hidayah untuk semua manusia
tidak kira bangsa, apa yang kamu lakukan itu sebenarnya suatu jenayah yang
sudah pasti akan menghumban kamu ke dalam kehinaan di dunia ini. Sudah tentu
jenayah ini akan mengheret kamu kepada kecelakaan dan kehinaan dalam apa jua
sudut kehidupan di dunia ini. Malah mengundang azab yang pasti dikenakan oleh
Allah kepada mana-mana manusia yang melakukan jenayah ini, dikenakan kepada
mereka yang melakukan kesalahan yang terkutuk ini, azab yang kamu sendiri tidak
akan mampu menanggungnya dan tiada siapa yang akan dapat menyelamatkan kamu.
Cukuplah
apa yang berlaku kepada Yahudi sebagai pengajaran untuk kamu. Mereka mendakwa mereka adalah
anak-anak dan manusia kekasih Allah. Namun sebaliknya mereka dilanda mala petaka dan
penghinaan, malahan mereka beroleh kemurkaan dan bala Allah. Sama sahaja, sama ada
kamu menolak jalan yang lurus ini dan kamu menggunakan pendekatan nasionalisme
atau sosialisme, atau kamu menggunakan pendekatan perkauman sempit atau
kapitalisme atau kamu gunakan apa juga pendekatan, ia tidak akan diterima di
sisi Allah dan tidak akan dapat membersihkan kamu daripada kesalahan kamu
menolak kebenaran. Satu-satunya jalan untuk menyelamatkan diri daripada akibat
kealpaan dan azab yang pedih ini ialah kamu menolak segala cara atau pendekatan
yang hanya membawa kamu tanpa hala tujuan, memesongkan kamu daripada jalan yang
sebenar. Kamu hendaklah berwaspada dan menjauhkan diri daripada terheret
bersamanya.
Dengan
ini kami telah jelaskan kepada tuan-tuan secara mendalam tentang kewajipan kita
dalam menunaikan Syahadah Al-Haq ini. Kami juga telah jelaskan kecuaian
tuan-tuan dalam soal ini yang menyebabkan tuan-tuan terpaksa melalui segala
mala petaka, penghinaan dan kemunduran dari segi moral dan material.
Jalan
Kami
Sekarang
kami ingin jelaskan kepada tuan-tuan apa yang kami lakukan dan ke arah mana
hala tuju kami. Dakwah kami ditujukan kepada mereka yang beriman dengan Allah
sebagai Tuhan dan Islam sebagai Agama. Kami menyeru mereka; Agar menjadikan
Islam sebagai agama dalam realiti hidup mereka; Agar mereka berpegang dengan
Islam baik secara individu atau secara kolektif; Agar mereka mempraktikkan
segala kebaikan Islam; Agar mereka membentuk hidup mereka dalam konteks
individu mahupun masyarakat dengan kebaikan Islam; Agar mereka melaksanakan
segala rukun Islam dan menyokong segala teras Islam; Agar mereka menyemai nilai
mulia dan keberkatan Islam di dalam keluarga mereka, saudara-mara mereka,
masyarakat mereka dan sekolah mereka; Agar mereka mencorak urusniaga dan segala
urusan ekonomi mereka menurut Islam. Begitu juga kami mengajak mereka supaya
melaksanakan segala tuntutan agama ini di dalam pertubuhan dan institusi negara
dan membentuk dasar negara mereka berlandaskan ajaran Islam berpandukan Al-Qur’an
dan Sunnah Nabi. Sehingga tiada lagi mana-mana sudut kehidupan atau mana-mana
sistem yang ada sama ada sistem di kala perang atau aman, dasar hubungan
antarabangsa, masalah ekonomi dan masalah sosial, semuanya dalam bentuk yang bersesuaian
dengan nilai agama yang benar ini atau sesuai dengan tuntutan ajaran Islam.
Ringkasnya,
hala tuju dan sasaran kami ialah agar umat Islam mendokong kebenaran melalui
kata-kata mereka di hadapan seluruh manusia, dengan pengakuan yang sebenar dan
meyakinkan seluruh manusia tentang ajaran agama ini, meyakinkan mereka bahawa
ajaran agama ini adalah ajaran yang benar. Syahadah ini iaitu syahadah sebenar
dan usaha ke arah memartabatkan agama hendaklah menjadi objektif utama seorang
muslim dan suatu yang paling utama perlu diusahakannya. Syahadah ini sepatutnya
menjadi paksi yang memusatkan segala amalannya di dunia ini dan sepatutnya
menjadi matlamat yang menggembeling segala tenaga dan usahanya.
Marilah
sama-sama wahai umat Islam, hentikanlah segala amalan yang bercanggah dengan
Islam atau yang mencemar nama baik Islam. Nilailah segala amalan kamu. Nilailah
segala perkataan atau perbuatan yang kamu ucapkan atau kamu lakukan dengan
neraca Islam yang sebenar. Jauhkanlah segala perkara yang tidak diterima oleh
neraca ini. Arahkanlah segala jiwa raga kamu ke arah dakwah Islam. Jadikanlah
Syahadah Al-Haq ini sebagai objektif utama kamu dalam hidup ini tanpa kamu mengenal
erti penat lelah hingga kamu mampu membuktikan syahadah ini menurut cara yang sebenarnya.
Sehingga segala elemen agama ini tertegak dan mampu dilihat oleh seluruh
manusia seterusnya menjadi hujah Allah bagi mendakwa hamba-hambaNya yang ada di
bumi ini. Agar tidak wujud lagi sebarang alasan untuk manusia kemukakan kepada
Allah selepas ketiadaan para rasul. Demikianlah yang dinyatakan oleh Allah di
dalam kitabNya dan benarlah segala firmanNya. Inilah satu-satunya tujuan
penubuhan Jama’ah Islam. Jalan yang kami pilih untuk melaksanakan tanggungjawab
ini ialah kami mulakan dengan umat Islam. Kami ingatkan mereka tentang
kewajipan mereka dan kami jelaskan kepada mereka erti Islam yang sebenar. Kami
bentangkan kepada mereka tuntutan Islam dan apa yang Islam tuntut supaya mereka
lakukan dan mereka tunaikan. Apakah tanggungjawab yang diletakkan ke bahu
seorang muslim sebaik sahaja dia memeluk agama Allah ini, sebaik sahaja dia
beriman dengan Allah dan hari akhirat.
Mereka
yang menyambut baik dakwah ini dan memahami dengan jelas seruan kami ini, kami
akan jelaskan pula selepas itu bahawa kebanyakan amalan yang dituntut oleh
Islam tidak dapat dilaksanakan secara individu atau perseorangan. Malah
sebahagian besarnya perlu dilaksanakan secara jamaie (kerja berkumpulan) dan
membabitkan kesemua lapisan masyarakat Islam baik dalam bentuk individu mahupun
berkumpulan. Amalan dalam agama ini yang berkaitan dengan individu terlalu
sedikit. Agama ini tidak mungkin akan dimartabatkan, kalimah agama ini juga
tidak mungkin dapat dinobat dan kewajipan syahadah ini tidak mungkin akan
tertunai dengan hanya sebahagian kecil ini. Ia tidak memadai. Tambahan pula,
sebahagian kecil ini juga tidak mungkin dapat dilaksanakan sepenuhnya, segala
perintah dan larangan agama ini juga tidak dapat diamalkan selagimana kehidupan
masyarakat dikuasai oleh kuasa kufur yang dipegang Taghut; ketika kuasa kufur
menentukan arah dan matlamat masyarakat ini. Malah sistem kufur akan
menyempitkan ruang amalan untuk agama individu, jikalau istilah ini boleh
diterima. Apa yang saya maksudkan di sini ialah amalan yang berkenaan dengan
individu sahaja seperti yang disebutkan sebelum ini akan disempitkan ruang
pengamalannya oleh sistem kufur sedikit demi sedikit. Tidak ada cara lain dalam
usaha memartabatkan agama yang sempurna ini dan dalam usaha melaksanakan Syahadah
Al-Haq sepenuhnya selain umat Islam yang memahami tanggungjawab mereka, umat
Islam yang bersemangat serta bersedia untuk berusaha dan mengorbankan tenaga
untuk mencapainya…
Mereka
perlu disatukan dan menjadi satu kelompok yang tersusun. Barisan mereka hendaklah
dikemaskan bagi menegakkan agama yang benar dan menyeru seluruh manusia supaya
menghirup bayu segar ini dan beroleh kesegaran mata airnya. Semoga dengan ini
mereka dapat bangkit bersama bagi merealisasikan matlamat agung ini. Di samping
dapat bersatu berhadapan dengan mereka yang meletakkan pelbagai halangan dan
rintangan sepanjang jalan dakwah yang mengajak manusia ke arah kejayaan dan
kedaulatan agama ini. Malah mereka akan dapat menyingkir segala anasir yang
berniat jahat. Mereka juga akan mampu menangkis apa jua serangan yang mengancam
jalan ini atau cuba untuk menggagalkan usaha ini.
Dari
sini anda akan memahami mengapa Allah dan rasulNya memerintahkan kita supaya
sentiasa bersama dalam satu jamaah. Malah Allah tegaskan perkara ini setegas-tegasnya.
Oleh itu tidak hairan jika anda lihat cara beramal yang betul dan diredai oleh
Allah dalam mengharungi jalan dakwah ke arah menegakkan dan memartabatkan
kalimah agama ini bermula dengan membina struktur jamaah dan memperkemaskan
tonggaknya terlebih dahulu. Selepas itu barulah melangkah kepada beramal dan berjuang
di jalan Allah. Konsep ini iaitu keperluan berjamaah dan kedudukannya yang
penting dalam asas Islam telah dinyatakan oleh pelbagai hadis. Termasuklah yang
diriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud:
“Saya
memerintahkan supaya kamu melaksanakan lima perkara; jamaah, dengar, taat,
hijrah dan jihad di jalan Allah. Barangsiapa yang keluar daripada jamaah ini
walaupun sejengkal dia telah merungkai ikatan Islam daripada lehernya kecuali
dia kembali semula. Barangsiapa yang menyeru dengan seruan jahiliyyah dia
adalah penghuni neraka Jahannam walaupun dia puasa, sembahyang dan mengaku sebagai
Islam.”
Ia
mengandungi beberapa unsur berharga membentangkan tiga perkara penting:
1. Langkah
yang betul serta tepat dalam melaksanakan dakwah dan usaha menegakkan agama ini
mestilah bermula dengan membina sebuah jamaah. Di mana semua anggotanya taat
kepada salah seorang Imam di antara mereka dan menurut segala arahannya. Selepas
itu barulah, beramal dengan hijrah dan jihad, bergantung kepada persekitaran
dan keadaan yang diizinkan. Ini yang pertama.
2.
Kedua, keluar daripada jamaah ini dianggap keluar daripada Islam dan kembali
kepada kehidupan jahiliyyah di zaman silam di mana orang-orang Arab tidak
mempunyai seorang Imam yang diberikan kesetiaan dan ditaati arahannya.
3.
Ketiga, kebanyakan tuntutan dan objektif utama Islam hanya dapat dicapai dengan
adanya jamaah dan usaha secara berkumpulan. Kerana itulah, bagi orang yang
keluar daripada jamaah, Nabi s.a.w. bersabda: “Dia telah merungkai ikatan Islam
daripada lehernya walaupun dia puasa, sembahyang dan mengaku sebagai Islam.”
Atas dasar inilah pemimpin kita Umar bin al-Khattab pernah berkata: “Tiada
Islam tanpa jamaah.”
Mereka
yang benar-benar memahami konsep ini akan merasakan suatu rasa tanggungjawab
dan rasa keimanan yang tinggi terhadap kewajipan ini. Perasaan ini akan membawa
mereka menolak segala keinginan dan matlamat peribadi mereka semata-mata untuk
turut sama dalam arus jamaah dan bersedia menurut segala peraturannya kerana
mengharapkan keredaan Allah dan kerana berkhidmat untuk agama yang benar ini.
Bagi mereka ini kami ingin seru supaya mereka memilih salah satu daripada tiga
pilihan yang terbentang di hadapan mereka... tiada pilihan selain daripada yang
tiga ini:
1. Jika
hati kamu merasa yakin dan selesa bahawa dakwah, prinsip, objektif, struktur jamaah
kami dan cara bekerja yang kami pilih untuk jamaah dan diri kami ini adalah
benar, bersumberkan al-Kitab dan sunnah tanpa dicemar oleh sebarang unsur
jahiliyyah; jika kamu yakin semua ini dan kamu sendiri mengakui bahawa segala
amalan yang telah kami laksanakan dan dakwah kami ini merupakan amalan yang
sepatutnya menjadi tumpuan dan objektif utama setiap muslim dan muslimat di
seluruh dunia, maka marilah bersama-sama sertai kami untuk membantu kami
melaksanakan tugas ini dan bersama-sama kita beramal demi kepentingan kamu
sendiri di dunia dan di akhirat, dengan izin Allah.
2. Jika
kamu tidak yakin dengan cara kerja kami dan hati kamu tidak terbuka untuk bersama-sama
kami, carilah jamaah lain yang bekerja untuk matlamat agama yang sebenar, jamaah
yang berusaha dengan menggunakan cara yang Islamik. Gabungkan diri kamu ke dalam
jamaah tersebut. Bernaunglah di bawah panjinya dan sertailah mereka bersama
amalan mereka. Demi sesungguhnya, jika kami temui sebuah jamaah seperti ini
sudah tentu kami akan turut serta bersamanya. Kami adalah golongan yang amat
berusaha untuk bekerja di bawah satu jamaah. Kami tidak mahu sama sekali
berkelainan dan berpisah. Kami juga tidak mahu sama sekali berpecah.
3. Jika
kedua-dua pilihan ini masih tidak sesuai dengan diri kamu. Maksudnya jika kamu tidak
setuju untuk bersama dengan kami dan tidak menemui mana-mana jamaah lain yang memiliki
ciri tersebut, bentuklah sebuah jamaah yang berlandaskan agama yang sebenar, bermatlamat
menegakkan agama Allah sepenuhnya dan melaksanakan Syahadah Al-Haq melalui
perkataan dan perbuatan supaya kamu dapat melaksanakan kewajipan Islam kamu dan
kamu dapat melaksanakan segala kewajipan agama kamu.
Inilah
tiga peluang dan tiga cara beramal yang terbentang di hadapan mereka yang
menerima dakwah ini dengan baik dan dapat merasai tanggungjawab mereka sebagai
individu dan sebagai sebahagian daripada masyarakat. Kami katakan kepada mereka
ini dan kami persilakan mereka supaya memilih mana-mana cara ini. Jika kamu
telah memilih salah satu cara ini kamu tidak akan terpisah daripada kebenaran
dengan izin Allah. Kami tidak pernah mendakwa dan kami tidak ada hak untuk
mendakwa bahawa jamaah kami sahaja yang benar sementara mereka yang tidak mahu
menyertai kami dan tidak mahu bersama arus kami adalah sesat. Tidak, kami tidak
pernah berkata demikian. Sudah tentu kami tidak akan katakan demikian kerana
kami amat sedar dan faham. Malah kami juga tidak mengajak orang lain untuk
bernaung di bawah panji kami atau mengajak mereka untuk menyertai jamaah kami.
Sebaliknya
dakwah kami daripada awal hingga akhir hanyalah untuk mengajak mereka
melaksanakan kewajipan yang menjadi tanggungjawab setiap muslim dan muslimat,
seperti yang telah saya nyatakan sebelum ini. Sesiapa yang melaksanakan
kewajipan ini atau berusaha sedaya upaya untuk melaksanakannya, dia telah
berada di landasan yang benar, tidak kira sama ada dia menyertai kami ataupun
tidak. Sebaliknya jika kamu tidak melaksanakan kewajipan kamu atau kamu tidak
berusaha untuk melaksanakan tanggungjawab syahadah ini iaitu Syahadah Al-Haq
dengan cara yang betul atau kamu tidak cuba membantu mereka yang bekerja untuk
mencapai objektif tersebut, tindakan kamu itu sebenarnya tidak betul. Begitu
juga jika kamu bertangguh untuk turut sama melaksanakan kewajipan syahadah ini
atau berusaha untuk menegakkan agama ini sebaliknya kamu kemukakan pelbagai
helah dan alasan yang tidak berasas, atau lebih teruk lagi apabila kamu
kerahkan segala kekuatan kamu atau kamu arahkan segala tumpuan dan usaha kamu
ke arah mendokong kesesatan, kamu bina dan kemaskan struktur dan tonggak
kesesatan… kamu dokong kesesatan melalui perbuatan kamu dan kamu cemar
kebenaran melalui perangai dan tingkah laku kamu... semua ini akan
mengakibatkan kamu dihukum di hadapan Allah dan kamu akan merasai akibat buruk
tindakan kamu ini. Mungkin segala helah atau segala alasan ini akan berguna dan
boleh meringankan jenayah kamu jika perkara ini diserahkan kepada manusia di
dunia ini. Namun kes kamu ini akan diserahkan kepada Allah yang Maha Tinggi dan
Maha Esa. Tuhan yang tidak akan dicabar di kerajaan-rayaNya ini dan Tuhan yang
tidak pernah tidur dan tidak pernah lupa apa yang berlaku di langit dan di bumi
walaupun sebesar zarah. Kamu tidak akan dapat melepaskan diri!
Tidak
dinafikan kewujudan lebih daripada satu jamaah yang mempunyai hasrat dan
objektif yang sama boleh juga menyumbang kepada perpecahan yang tidak baik.
Mungkin kepelbagaian ini akan memudaratkan objektif yang dicita-citakan itu
sendiri. Namun tiada apa yang dapat kita lakukan pada peringkat awal ini. Kuasa
Islam telahpun terungkai dan hancur lebur semenjak beberapa abad yang lalu.
Pada hari ini bukan kita sahaja yang mempelopori usaha ini dan bukan kita
sahaja yang menentukan martabat kuasa Islam yang ingin kita tegakkan ini. Apa
yang pasti pada hari ini ialah kita memikul tanggungjawab untuk menghidupkan kembali
kuasa yang dicitakan ini, kita bangkitkan semula daripada lenanya dan kita akan
bangunkan segala asas dan ranting serta cabangnya sekali lagi. Tidak mungkin
dalam peringkat awal usaha ini kita dapat membentuk sebuah jamaah yang dapat
merangkum seluruh umat Islam, semuanya bernaung di bawah lembayung jamaah ini
di mana seluruh umat Islam wajib menyertainya dan mentaatinya, turut sama dalam
arenanya; Menolak atau menentang jamaah ini dianggap sebagai menolak Islam dan terkeluar
daripada agama Allah, seperti yang dinyatakan oleh Hadith Riwayat as-Sharif
tadi.
-TAMMAT-
2 comments:
Salam,
Tuan,
Jemaah mana yang yang patut diertai dalam artikel ini?Mohon pencerahan.
Terima-kasih
wa-'alayka-as-salam wa-rahmatuLLAHI wa-barakatuhu...yaa Anon.
Jawapan bagi soalan anda telah RasuluLLAH s.a.w jawab melalui sebuah hadith:
Thawban (R.A) reported that the Prophet [sic] Muhammad said,
"In your old age three men will be killed. Each of them will be the son of a Khalifah (caliph -- a Muslim ruler). Then the Black Banners will come out of the east, and they will slaughter you in a way that no Nation has ever done before".
Then the Dear Prophet said something that I didn't remember. Then again the Dear Prophet said,
"if you see him give him your allegiance, even if you have to crawl over ice, because he is the Khalifah of Allah, the Mahdi.'
(Ibn Majah Page 300, Also Ahmad's Musnad, al-Haakim's Mustadrak and others).
Sabda Nabi SAW "Akan datang Panji-panji Hitam dari Timur, seolah-olah hati mereka adalah kepingan-kepingan besi. Sesiapa mendengar tentang mereka, hendaklah datang kepada mereka dan berbaiatlah kepada mereka, sekalipun merangkak di atas salji." |Al-Hafiz Abu Naim|
Jadi jawapannya ialah Jemaah Panji Hitam dari Timur. Bila masanya hanya ALLAH lebih tahu...tapi saya rasa amat dekat. Terima kasih kerna bertanya :-)
Post a Comment