Gambar Hiasan"Big Bang, Big Crunch & Al-Quran"
Mukadimah
Aku pernah berniaga ikan kering bersama abang sulung di pasar-pasar malam sekitar Kedah pada tahun 1986. Belajar cari duit poket sementara menunggu keputusan SPM. Tapak pasar malam di Sungai Petani ketika itu ialah bersebelahan bangunan HSBC. Tapak sebelah aku berniaga biasanya digunakan oleh Pak Awang yang berniaga jamu tradisional dan akar-akar kayu. Cara berniaga Pak Awang amatlah ringkas dan praktikal. Jamu-jamu dan akar-akar kayunya beliau bungkus dalam sehelai kain pemidang baldu berwarna merah. Setelah dibukakan meja kaki, Pak Awang pun membuka bungkusan kain yang mengandungi segala produknya di atas meja. Setelah dibuka maka berteraburlah segala kotak-kotak jamu dan akar-akar kayu di atas kain tersebut. Kemudiannya Pak Awang menghamparkan kain baldu tersebut dengan kemas sambil menyusun produk-produknya mengikut kategori masing-masing. Ada yang khas untuk lelaki, untuk kaum wanita, untuk penyakit biasa dan untuk penyakit ganjil. Semuanya disusun dengan kemas dan tertib.
Pantangnya produk ikan kering aku dan pantangnya produk Pak Awang adalah sama, iaitu alah kepada hujan. Kalau kena hujan, rosaklah produk-produk 'kering' kami. Kalau hujan renyai masih boleh bertahan lagi dengan payung kaki. Kalau hujan lebat makna terpaksalah kami 'bungkus' awal. Biasanya bila hujan lebat, Pak Awanglah juara paling cepat 'membungkus' produknya. Ditariknya 4 penjuru kain hamparan arah ke atas, diikatnya pada 4 bucu dan terus dimasukkan ke dalam kereta. Selesai dalam masa kurang 3 minit. Maka bercampur aduklah semua produknya dalam bungkusan tersebut seperti asalnya.
Penciptaan Cakerawala Menurut al-Quran
Firman-firman Tuhan yang bermaksud,
"Dan apakah orang-orang yang kafir tidak mengetahui bahwasanya langit dan bumi itu keduanya dahulu adalah suatu yang padu, kemudian Kami pisahkan antara keduanya. Dan dari air Kami jadikan segala sesuatu yang hidup. Maka mengapakah mereka tiada juga beriman?" (QS. al-Anbiya 21:30)
"Dan langit itu Kami bangun dengan kekuasaan (Kami) dan sesungguhnya Kami benar-benar meluaskannya." (QS. adz-Dzariat 51:47)
Pemahaman peribadi ku secara sains kosmik mengenai 2 ayat di atas:
"Langit" yang dimaksudkan ialah ruang yang menempatkan seluruh cakerawala. Cakerawala meliputi seluruh jasad berjisim di dalam ruang. Jasad berjisim terdiri dari matahari (sistem suria 9 planet), 9 planet (termasuk isinya), bulan-bulan yang mengelilingi setiap planet, bintang-bintang dari sistem suria yang lain, planet-planet dari sistem suria yang tidak diketahui, awan kosmik serta setiap partikel yang memenuhi ruang.
"Bumi" merujuk kepada planet bumi iaitu tempat di mana manusia menjalani kehidupan. Secara relatifnya bumi dipisahkan dari "langit" kerana bumi adalah jasad berjisim di dalam cakerawala yang menempati ruangan langit. Penemuan geologi pada batuan paling tua setakat ini telah mendapati bahawa batu tersebut berusia 4.5 biliun tahun. Ini merumuskan bahawa bumi telah berusia 4.5 biliun tahun. Penentuan usia batu tersebut dibuat melalui ujian penyusutan radioaktif atau disebut kaedah 'radiometric-dating".
Perkataan "dahulu" merujuk kepada suatu masa yang melebihi usia bumi (dianggarkan saintis kira-kira 13.7 biliun tahun dahulu) semasa berlakunya pemisahan jasad di dalam ruang.
"Suatu yang padu" merujuk kepada cakerawala dan segala isinya yang membentuk satu unit jasad berjisim yang padu.
"Kemudian Kami pisahkan" merujuk kepada kekuasaan Tuhan yang telah memisahkan satu unit jasad berjisim yang padu kepada pecahan sub-unit yang membentuk cakerawala dan segala isinya yang bertebaran di dalam ruang.
"Dari air Kami jadikan segala sesuatu yang hidup" merujuk kepada air sebagai sumber asas penghidupan bagi setiap sel makhluk yang hidup.
"Dan langit itu Kami bangun dengan kekuasaan" bermaksud bahawa seluruh cakerawala di bentuk dalam ruangan langit dengan kekuasaan Allah SWT.
"Sesungguhnya Kami benar-benar meluaskannya" bermaksud bahawa Allah SWT memperkembangkan keluasan cakerawala secara berterusan.
Teori Sains Mengenai Pembentukan Cakerawala- "The Big Bang"
Beberapa saintis tersohor barat seperti Georges Lemaître, Edwin Hubble, Albert Einstein, Alexander Friedmann, Arno Penzias, Robert Wilson, John C. Mather, George Smoot telah mengkaji suatu teori pemisahan yang dipanggil "The Big Bang" yang menyatakan bahawa berlaku peletupan kosmik yang kuat pada jasad berjisim padu yang bersuhu dan bertenaga tinggi di suatu sistem ruang. Peletupan yang kuat ini menghasilkan partikel kosmik besar dan halus yang terpisah dan tersebar pada ruang dan membawa sekali pecahan tenaga bersamanya. Partikel kosmik yang yang tersebar inilah yang membentuk sistem cakerawala.
Pemerhatian jalur tenaga kosmik oleh Edwin Hubble melalui teleskopnya pada tahun 1927 dan Teori Relativiti Einstein juga menjelaskan bahawa setiap partikel kosmik di cakerawala sentiasa bergerak menjauhi titik pemerhatian atau dengan ertikata lain cakerawala mengembang secara berterusan atau sentiasa menambah keluasannya.
Teori Sains Mengenai Kemusnahan Cakerawala- "The Big Crunch"
Sains kosmologi berkenaan Teori "The Big Bang" telah dimajukan pada tahun 1990-an dengan pelancaran satelit pengukuran seperti COBE, Teleskop Angkasa Hubble dan WMAP. Pengukuran-pengukuran yang dibuat telah membawa kepada penemuan fakta yang memeranjatkan iaitu "pengembangan atau peluasan cakerawala sedang berlaku dengan kadar yang semakin bertambah".
Ahli-ahli kosmologi juga telah membuat teori berikut:-
"Sekiranya ketumpatan cakerawala melebihi ketumpatan kritikal, pengembangan berterusan cakerawala akan mencecah suatu keluasan maksima dan apabila ini berlaku, segala isi cakerawala akan meruntuh dan bercantum semula membentuk jasad berjisim yang padu dan bertenaga serta bersuhu tinggi, seperti sebelum berlakunya "The Big Bang"."
Fenomena ini disebut "The Big Crunch".
Kehancuran Cakerawala Menurut al-Quran - Kiamat
Firman-firman Tuhan seperti berikut menggambarkan fenomena berlakunya kiamat,
"Apabila matahari digulung," (QS. at-Takwir: 81:1)
"dan apabila bintang-bintang berjatuhan," (QS. at-Takwir: 81:2)
"dan apabila gunung-gunung dihancurkan," (QS. at-Takwir: 81:3)
"dan apabila lautan dipanaskan," (QS. at-Takwir: 81:6)
"dan apabila langit dilenyapkan," (QS. at-Takwir: 81:11)
Kesimpulan
Setiap kejadian ciptaan Tuhan di cakerawala ini termasuk manusia sendiri adalah jasad-jasad berjisim yang terbatas oleh had ruang dan sempadan waktu. Hanya Allah SWT yang menciptakan segalanya tidak terbatas oleh had ruang dan sempadan waktu. Walaupun manusia menganggap bahawa keluasan cakerawala ini sebagai infiniti (tanpa had ruang dan sempadan waktu), hanya Tuhan Yang Maha Mengetahui akan ciptaan Nya.
Cara Pak Awang membuka bungkusan, menghamparkan kain baldu dan menyusun produk-produknya dengan kemas adalah simbolik kepada kejadian "The Big Bang". Cara Pak Awang membungkus kembali produk-produknya dengan pantas adalah simbolik kepada kejadian "The Big Crunch". Berapa besar hamparan kain baldu Pak Awang ialah faktor had ruang. Berapa banyak produk yang hendak diniaga Pak Awang ialah faktor jasad. Tempoh lamanya Pak Awang mahu berniaga ialah faktor sempadan waktu. Semuanya bergantung kepada Pak Awang. Adalah begitu mudah bagi Pak Awang memulakan dan mengakhirinya.
Begitulah juga dengan penciptaan cakerawala dan manusia, semuanya bergantung kepada Pencipta dan adalah begitu mudah bagi Pencipta memulakan dan mengakhirinya. Tidak boleh ianya berlaku dengan sendiri tanpa Pencipta yakni Allah SWT.
Dua ayat dari surah al-Anbiya dan surah adz-Dzariat di atas memberikan gambaran jelas mengenai Teori "The Big Bang". Kelima-lima ayat dari surah at-Takwir pula memberikan gambaran jelas bagaimana berlakunya kiamat dan besesuaian pula dengan Teori "The Big Crush". Begitulah juga simboliknya perbuatan Pak Awang!


.jpg)
2 comments:
Salam Zaidi.
Ketika saudara sedang menjalankan perniagaan itu, saya mungkin berada dalam jarak tidak lebih dari 500m dari kedudukan saudara dan lebih kurang 100m dengan penjual air tebu dan Perpustakaan Awam dan 100m dengan Pejabat Buruh dan 110m dengan Dewan kenangan kerana rumah yang saya tinggal pada masa itu berada di dalam kawasan sekolah berhampiran.
Bila saudara sebut nama Pak Awang saya teringat Pak Awang penjual ubat di Pekan Rabu.
Salam Leenoh.
Mungkin kita pernah bersua. Mungkin juga sebab setiap minggu saya di Pasar Malam Jumaat Sg Petani.
Mungkin juga Pak Awang yang sama. Misainya tebal melentik!
Post a Comment