
MIMPI DI SIANG HARI
Aku bermimpi King James datang mengaku, "Sesungguhnya aku pengikut setia Isa".
Mukadimah
Saya sering tercari-cari perkaitan antara politik dan agama Islam.
Persoalan 1: Adakah politik wujud dalam Islam?
Persoalan 2: Adakah lslam menganjurkan politik?
Persoalan 3: Pemimpin sebagaimanakah yang dianjurkan Islam?
Persoalan 4: Apakah kuasa dan kepemimpinan dari sudut Islam?
akan saya fikirkan jawapannya di akhir entri.
Tidak terdapat perkataan politik dalam nas-nas Islam samada dalam al-Quran atau pun hadis. Cuma ada 2 perkara dalam Islam yang boleh dikaitkan dengan politik iaitu kepimpinan (siasah) dan hukum (syariah).
Bagi lebih memahami perkaitan antara politik dan Islam, saya terpaksa mengenepikan terus penakrifan dari sudut istilah sempit yang mendefinisi politik atau yang mendefinisi Islam. Saya juga akan mengenepikan terus pandangan alim ulamak dan sarjana barat mengenai politik dan Islam.
Kefahaman hanya akan berasaskan kefahaman saya semata-mata dengan berujukan al-Quran dan tiada kaitan dengan mana-mana individu.
POLITIK DAN PERKEMBANGANNYA
Politik Wujud Sejak Zaman Kegelapan
Politik mula wujud secara fitrah apabila terbentuk suatu komuniti (kelompok) yang berbilang manusia apabila kuasa diperlukan oleh seorang individu untuk memimpin dan mentadbir para pengikut di dalam sesuatu komuniti.
Asas Politik
Asas politik bermula di dalam sebuah keluarga jahiliyyah (sebelum mengenali Islam) apabila kuasa yang diperlukan untuk memimpin dan mentadbir di dalam keluarga menjadi semakin penting untuk memastikan keharmonian dan kesinambungan kehidupan sesuatu keluarga. Kepemimpinan dan kepentadbiran perlu dipegang oleh seorang ketua keluarga yang berkuasa supaya tiada perbalahan pendapat. Sekiranya si suami berkata 'ya' dan si isteri berkata 'tidak' kepada anak-anak, maka terdapat kecelaruan di dalam keluarga. Maka perlunya satu kuasa 'veto' yang biasanya dipegang oleh si suami. Semakin ramai anggota keluarga maka si suami perlukan para pembantu yang menguruskan sumber (kewangan?), disiplin (perundangan?), perlindungan (pertahanan?), sosial (hal ehwal luar?) dan sebagainya. Kesibukan si suami mencari rezeki di luar samada berladang atau berburu akan meninggalkan keluarganya tanpa pengganti yang mentadbir rumahtangga. Maka dilantik pula si isteri sebagai timbalan yang menguruskan sumber, anak sulung menguruskan disiplin dan anak-anak lain dengan jawatan masing-masing. Konsep ini bukannya perkongsian kuasa kerana si suami masih berkuasa penuh dalam keluarga. Konsep ini lebih kepada pengagihan tugas mentadbir.
Sebagai ketua yang dipersetujui secara konsensus (persefahaman), kuasa si suami kadangkala dipertikaikan kerana keputusan yang terbaik baginya tidak semestinya terbaik kepada si isteri dan anak-anaknya. Sesuatu yang terbaik secara fitrah manusia boleh bersifat objektif atau subjektif. Si suami memikirkan untuk menyediakan keperluan asas berpakaian sebagai menggantikan "cawat" kepada keluarganya. Beliau menganggap menyediakan pakaian tebal berbulu beruang kepada semua anggota keluarganya merupakan objektif terbaik supaya pakaian itu tahan lebih lama dan tahan kesejukan. Si isteri berpendapat pakaian dari kulit serigala lebih mudah diperolehi kerana serigala tidaklah seganas beruang. Anak sulung berkehendakkan pakaian dari kulit harimau bintang yang lembut dan cantik. Anak tengah berkehendakkan pakaian dari kulit harimau akar yang gebu dan hitam manakala anak bongsu berkehendakkan pakaian dari kulit seladang berwarna coklat. Percaturan antara keperluan asas dan kehendak naluri manusia mewujudkan konflik dalaman rumahtangga. Si suami terpaksalah memikirkan bagaimana hendak memberi keperluan berpakaian di samping memuaskan kehendak naluri setiap anggota keluarga dan pada masa yang sama mengurangkan risikonya dibaham pelbagai jenis binatang buas. Sekiranya keperluan dan kehendak naluri tidak dipenuhi, konflik yang berterusan akan menjejaskan kuasanya sebagai pemimpin dan pentadbir. Seterusnya anggota keluarga semakin hilang kepercayaan dan kemungkinan besar si isteri dan anak-anak akan meninggalkannya keseorangan. Apabila si suami tinggal keseorangan, kuasanya ke atas manusia akan hilang secara fitrah. Demi mempertahankan kesinambungan kuasanya di samping faktor sumber yang kritikal, si suami mula membahagikan anggota keluarganya kepada 2 pecahan iaitu penyokong majoriti dan pembangkang minoriti. Penyokong majoriti diberi kepuasan kehendak manakala pembangkang minoriti diberi keperluan asas yang termampu. Terciptalah konsep konsep pecah dan perintah yang mempengaruhi penyokong agar terus menyokong dan pengaruh pembangkang dapat dibendung. Terciptalah juga konsep pengaruh dan mempengaruhi. Bagi mengekalkan pengaruh ke atas yang menyokong, kepuasan kehendak perlu sentiasa dipenuhi dengan unsur kebendaan. Bagi membendung pengaruh pembangkang, penindasan terpaksa dilakukan kerana sumber yang terhad. Terciptalah pula konsep rasuah kebendaan, kronisme dan penindasan di dalam sebuah keluarga. Si suami semakin hilang kewarasannya disebabkan terlalu fokus kepada kuasa, kebendaan dan pengaruh sehingga terlupa tanggungjawabnya sebagai seorang suami dan juga seorang bapa. Bagi mengawal anak-anak pecahan pembangkang dari memberontak, si suami perlu mencipta ketidakadilan hukum dan peraturan untuk menjamin kekuasaannya. Maka terbentuklah suatu asas ideoeologi politik kekeluargaan jahiliyyah yang berlandaskan fitrah dan nafsu.
Perkembangan Politik
Apabila suatu keluarga berkembang biak membentuk lapisan generasi maka semakin bertambah besarlah sesebuah komuniti yang asalnya dari keluarga (puak) yang sama. Semakin besar sesebuah komuniti maka semakin kurang stabil seseorang pemimpin itu kerana faktor-faktor had (batasan).
Faktor-faktor had ialah:-
1)kuasa memimpin dan mentadbir semakin terbatas oleh keluasan geografi komuniti.
2)pengaruh penyokong semakin tercabar kerana pengaruh pembangkang yang semakin berkembang.
3)kehendak terhadap kebendaan semakin bervariasi apabila populasi semakin meningkat.
4)sumber untuk merasuah semakin terbatas bagi memenuhi populasi yang semakin meningkat.
5)pemantauan hukum semakin terbatas apabila populasi semakin meningkat.
Faktor-faktor had boleh diseimbangkan dengan mengamalkan konsep pecah dan perintah serta propaganda fitnah. Si suami yang telah bergelar datuk mengagih tugasnya sebagai pentadbir kepada anak-anaknya untuk mentadbir cucu-cucunya. Kuasa memimpin masih dipegang oleh si datuk.
Apabila komuniti dari suatu keluarga (puak) semakin berkembang membentuk populasi yang lebih besar (masyarakat), asas ideologi politik kekeluargaan jahiliyyah yang berasakan fitrah dan nafsu ini berevolusi secara minda membentuk ideologi politik bermasyarakat.
Ideologi Asas Politik
Persepsi (tanggapan) yang berbeza-beza pula membentuk istilah monarki, demokrasi, diktator, liberal dan sebagainya padahal semuanya berasal dari ideologi politik bermasyarakat yang tetap sama iaitu:-
"Kekuasaan seorang pemimpin boleh diperkukuhkan berlandaskan pemahaman terhadap fitrah dan nafsu manusia iaitu dengan memenuhi kehendak naluri majoriti para penyokong melalui manipulasi pengaruh, kebendaan dan rasuah di samping mengamalkan konsep pecah perintah yang bersifat zalim terhadap minoriti pembangkang melalui perlaksanaan kronisme, fitnah propaganda dan penguatkuasaan ketidakadilan hukum."
Begitulah pemahaman politik yang boleh ditafsirkan dengan sebaris ayat dan ianya sangat sinonim jika saya hubungkaitkan dengan senario politik di kebanyakan negara jahiliyyah ketika itu dan ketika ini.
ISLAM DAN KEHIDUPAN BERMASYARAKAT YANG SEMPURNA
Penerima Wahyu Pertama
Agama Islam ialah agama wahyu milik Allah SWT yang diturunkan melalui wahyu-wahyu secara berperingkat. Penerima wahyu ialah dari kalangan rasul dan nabi. Penerima dan penyampai wahyu yang pertama dari kalangan manusia ialah Nabi Adam (a.s.) semasa di alam ruh. Wahyu tersebut diterima terus dari Allah SWT dan diperintahkan Nya supaya disampaikan kepada para malaikat. Peristiwa ini berdasarkan firman Nya yang bermaksud,
"Dan Dia mengajarkan kepada Adam nama-nama (benda-benda) seluruhnya, kemudian mengemukakannya kepada para Malaikat lalu berfirman: "Sebutkanlah kepada-Ku nama benda-benda itu jika kamu memang orang-orang yang benar!". Mereka menjawab: "Maha Suci Engkau, tidak ada yang kami ketahui selain dari apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana". Allah berfirman: "Hai Adam, beritahukanlah kepada mereka nama-nama benda ini". Maka setelah diberitahukannya kepada mereka nama-nama benda itu, Allah berfirman: "Bukankah sudah Ku katakan kepadamu, bahwa sesungguhnya Aku mengetahui rahsia langit dan bumi dan mengetahui apa yang kamu lahirkan dan apa yang kamu sembunyikan?"." (QS. al-Baqarah 2:31-33)
Penerima Wahyu Terakhir
Penerima wahyu yang terakhir, lengkap dan sempurna di dalam sebuah kitab (al-Quran) ialah rasul terakhir iaitu Nabi Muhammad (s.a.w.) berdasarkan firman Nya yang bermaksud,
"Pada hari ini telah Ku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-ridai Islam itu jadi agama bagimu." (QS. al-Maaidah 5:3)
Islam Sebagai Agama Allah SWT
Islam adalah agama Allah SWT yang diturunkan untuk umat manusia berdalilkan beberapa firman Nya yang bermaksud,
"Sesungguhnya agama (yang diridai) di sisi Allah hanyalah Islam. Tiada berselisih orang-orang yang telah diberi Al Kitab kecuali sesudah datang pengetahuan kepada mereka, karena kedengkian (yang ada) di antara mereka. Barang siapa yang kafir terhadap ayat-ayat Allah maka sesungguhnya Allah sangat cepat hisab-Nya." (al-Imron 3:19)
"Maka apakah mereka mencari agama yang lain dari agama Allah, padahal kepada-Nya-lah berserah diri segala apa yang di langit dan di bumi, baik dengan suka maupun terpaksa dan hanya kepada Allah mereka dikembalikan." (QS. al-Imron 3:83)
Tugas dan Kewajipan Rasulullah (s.a.w.)
Agama Islam yang lengkap dan sempurna ini berdasarkan kalimah-kalimah wahyu dari Tuhan yang termaktub di dalam al-Quran serta ianya membenarkan kitab-kitab wahyu ajaran para nabi terdahulu. Nabi Muhammad (s.a.w.) diutuskan Tuhan dengan kewajipan melaksanakan amanah Tuhan melalui penyampaian dan pengajaran kandungan al-Quran kepada umatnya. Penyampaian dan pengajaran ini adalah amanah untuk menyebarkan agama Allah SWT. Dalilnya dari firman Tuhan yang bermaksud,
"Dan taatlah kepada Allah dan taatlah kepada Rasul, jika kamu berpaling maka sesungguhnya kewajiban Rasul Kami hanyalah menyampaikan (amanat Allah) dengan terang." (QS. at-Taghabun 64:12)
"Jika mereka tetap berpaling, maka sesungguhnya kewajiban yang dibebankan atasmu (Muhammad)hanyalah menyampaikan (amanat Allah) dengan terang." (QS. an-Nahl 16:82)
"Sebagaimana (Kami telah menyempurnakan nikmat Kami kepadamu) Kami telah mengutus kepadamu Rasul di antara kamu yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu dan menyucikan kamu dan mengajarkan kepadamu Al-Kitab dan Al-Hikmah (As Sunah), serta mengajarkan kepada kamu apa yang belum kamu ketahui." (QS. al-Baqarah 2:151)
Enam Elemen Teras Iman
Kandungan al-Quran boleh dibahagikan kepada 6 elemen teras yang membentuk keimanan:-
1) Allah SWT, Tuhan yang Satu. Wujud sebagai Maha Pencipta, Maha Sempurna dan bukannya ciptaan tetapi menciptakan.
2) Malaikat-malaikat, Bumi, langit (cakerawala) dan segala isinya sebagai objek ciptaan.
3) Kalimah-kalimah wahyu yang sempurna dari Tuhan yang menghuraikan akidah dan hukum syariah dan terkandung dalam kitab-kitab.
4) Rasul-rasul dari kalangan manusia sebagai subjek yang sempurna ciptaannya di sisi Tuhan.
5) Akhirat sebagai objektif yang berkekalan dan sempurna kejadiannya ciptaan Tuhan.
6) Qada dan Qadar sebagai ketetapan dan ketentuan yang sempurna dari Tuhan. Enam elemen teras di atas membentuk Rukun Iman iaitu percaya dan beriman dengan:-
1) Allah SWT sebagai Tuhan yang Satu.
2) Malaikat
3) Kitab-kitab Tuhan
4) Rasul-rasul utusan Tuhan
5) Akhirat
6) Qada dan Qadar.
Asas Rukun Islam dari Rukun Iman
Rukun Islam pula berteraskan ibadah wajib kepada Tuhan semasa kehidupan di dunia yang dituntut dalam Islam dan semuanya terkandung dalam kitab dan ajaran rasul, 2 elemen yang membentuk Rukun Iman di atas.
Tiga Elemen Teras Kesempurnaan
Sebagai agama yang sempurna, milik Tuhan yang Maha Sempurna untuk manusia yang sempurna kejadiannya maka Islam menambah nilai kesempurnaan kepada fitrah kejadian manusia melalui tuntutan-tuntutan:-
1)akidah
Akidah menjurus kepada 6 elemen teras wajib yang membentuk Rukun Iman.
2)ibadah
Ibadah menjurus kepada 5 elemen teras wajib yang membentuk Rukun Islam.
3)hukum syariah.
Hukum syariah menjurus kepada peraturan dan hukum yang ditetapkan Tuhan dalam sebarang aktiviti penghidupan individu dan masyarakat.
Asas Masyarakat Sempurna
Ketiga-tiga elemen teras wajib di atas menambah nilai kepada penghidupan manusia jahiliyyah supaya keluar dari zaman gelap sambil menuju ke jalan yang lurus, jalan yang diredhai Tuhan. Apabila 3 elemen ini diterapkan ke dalam kehidupan setiap individu maka sempurnalah kehidupan seseorang.
Masyarakat (komuniti) terbentuk apabila manusia bercambah biak. Apabila setiap individu Islam yang membina sesuatu masyarakat mukmin bersifat sempurna maka sempurnalah segala entiti masyarakat tersebut. Masyarakat sempurna ini terbentuk dari acuan yang sama yang membentuk individu sempurna. Acuan ini pula terbina dari teras-teras akidah, ibadah dan hukum syariah yang dituntut Tuhan. Setiap individu akan faham tanggungjawab masing-masing dan mengikut peraturan dan hukum yang telah ditetapkan oleh Tuhan. Masyarakat sempurna mengamalkan prinsip "amal makruf nahi mungkar" dalam setiap liku kehidupan. Ini bertepatan dengan fitrah kejadian manusia oleh Tuhan iaitu "khalifah-khalifah yang bertanggungjawab terhadap diri sendiri" seperti firman Tuhan yang bermaksud,
"Dia-lah yang menjadikan kamu khalifah-khalifah di muka bumi. Barang siapa yang kafir, maka (akibat) kekafirannya menimpa dirinya sendiri. Dan kekafiran orang-orang yang kafir itu tidak lain hanyalah akan menambah kemurkaan pada sisi Tuhannya dan kekafiran orang-orang yang kafir itu tidak lain hanyalah akan menambah kerugian mereka belaka." (QS. Fathir 35:39)
"Dan sungguh telah Kami tulis di dalam Zabur sesudah (Kami tulis dalam) Lohmahfuz, bahwasanya bumi ini dipusakai hamba-hamba-Ku yang soleh." (QS. al-Anbiya' 21:105)
"Dan ingatlah kurnia Allah kepadamu dan perjanjian-Nya yang telah diikat-Nya dengan kamu, ketika kamu mengatakan: "Kami dengar dan kami taati". Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui isi hati (mu)." (QS. al-Maaidah 5:7)
"Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Allah); (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui,". (QS. ar-Ruum 30:30)
Pemimpin Umat Islam
Al-Quran langsung tidak menyebut ciri-ciri yang melayakkan seorang bergelar pemimpin umat Islam. Perumpamaan "khalifah-khalifah di muka bumi" lebih menjurus kepada memimpin dan menguasai diri sendiri dan bukannya bertanggungjawab memimpin orang lain menuju ke jalan yang lurus. Kefahaman ini mungkin terlalu janggal untuk diterima seseorang mukmin. Umat Islam sentiasa diingatkan bahawa "sendiri buat sendiri tanggung" melalui berpuluh-puluh kalimah peringatan, perumpamaan dan bayangan di Hari Kiamat, siksaan neraka, bencana ke atas kaum-kaum, dialog antara iblis dan pengikutnya dalam neraka dan dialog antara nabi dengan umatnya. Tanggungjawab mukmin hanya ingat-mengingati antara satu sama lain melalui ucapan "salam", sejahtera ke atas kamu. Suatu ucapan yang mempunyai maksud mendalam seperti selamatlah kamu dari neraka. Imam jemaah masjid hanya bertanggungjawab mengimamkan jemaah di samping mengingatkan jemaah dan dirinya sendiri. Imam tidak dipertanggungjawab dan tidak diwajibkan membawa makmum keluar dari kemungkaran kerana adalah tidak adil bagi Tuhan menghukum seorang imam di atas kemungkaran yang dilakukan sendiri oleh anak jemaah! Hanya petunjuk dan hidayah dari Tuhan yang akan menginsafkan seseorang dan dengan izin Nya. Sebab itulah diseru menyebut "Alhamdulillah" dan "InsyaAllah, dengan izin Allah beliau insaf dan syukur ke hadrat Allah SWT. Sudah tentu ada ganjaran pahala bagi imam yang menyeru ke arah kebaikan namun seruan tersebut bukanlah tanggungjawab yang wajib bagi dirinya. Tanggungjawab para nabi dan rasul hanyalah menyampai amanah kalimah Allah, mengajar, menyeru ke arah jalan yang lurus dan memberi peringatan. Merujuk kepada kisah-kisah di dalam surah al-A'raf, apabila sesuatu kaum semakin ramai yang sesat para nabi telah memberikan peringatan terlebih dahulu sebelum bencana besar diturunkan Tuhan.
Berdasarkan al-Quran, pemimpin-pemimpin umat hanya terbahagi kepada 2 golongan, iaitu:-
1) Golongan para Anbiya yang dilantik oleh Allah SWT dan diterangkan kepada Nabi Muhammad (s.a.w.) melalui firman Tuhan yang bermaksud,
"Dan (ingatlah), ketika Ibrahim diuji Tuhannya dengan beberapa kalimat (perintah dan larangan), lalu Ibrahim menunaikannya. Allah berfirman: "Sesungguhnya Aku akan menjadikanmu imam bagi seluruh manusia". Ibrahim berkata: "(Dan saya mohon juga) dari keturunanku". Allah berfirman: "Janji-Ku (ini) tidak mengenai orang-orang yang zalim". (QS. al-Baqarah 2:124)
2) Pemimpin umat yang dipengaruhi oleh iblis dan syaitan yang membawa umat kepada kefasikan, kekufuran, kesesatan dan kekafiran. Tuhan berfirman yang bermaksud,
"Barang siapa yang diberi petunjuk oleh Allah, maka dialah yang mendapat petunjuk; dan barang siapa yang disesatkan-Nya, maka kamu tak akan mendapatkan seorang pemimpin pun yang dapat memberi petunjuk kepadanya." (QS. al-Kahfi 18:17)
"Patutkah kamu mengambil dia dan turunan-turunannya sebagai pemimpin selain daripada-Ku, sedang mereka adalah musuhmu? Amat buruklah iblis itu sebagai pengganti (Allah) bagi orang-orang yang lalim." (QS. al-Kahfi 18:50)
Pemimpin yan Dilarang
"Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi pemimpin-pemimpin (mu); sebahagian mereka adalah pemimpin bagi sebahagian yang lain. Barang siapa di antara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin, maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim." (QS. al-Maaidah 5:51)
KESIMPULAN
"Ikutilah apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu dan janganlah kamu mengikuti pemimpin-pemimpin selain-Nya. Amat sedikitlah kamu mengambil pelajaran (daripadanya)." (QS. al-A'raf 7:3)
"Hai anak Adam, janganlah sekali-kali kamu dapat ditipu oleh setan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapamu dari syurga, ia menanggalkan dari keduanya pakaiannya untuk memperlihatkan kepada keduanya 'auratnya. Sesungguhnya ia dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dari suatu tempat yang kamu tidak bisa melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan setan-setan itu pemimpin-pemimpin bagi orang-orang yang tidak beriman." (QS. al-A'raf 7:27)
Firman-firman Tuhan bermaksud seperti di atas serta keseluruhan surah al-A'raf menjelaskan dengan khusus mengenai kezaliman umat Islam terhadap diri sendiri yang asalnya beriman tetapi telah disesatkan oleh tipu daya bersungguh-sungguh iblis dan syaitan.
Jawapan peribadi saya mengenai 4 persoalan pokok:
Persoalan 1: Adakah politik wujud dalam Islam?
Tidak. Politik tidak bersifat suci manakala Islam suatu agama yang suci.
Persoalan 2: Adakah lslam menganjurkan politik?
Politik tidak dianjurkan oleh agama Islam kerana agama Islam ialah agama Tuhan yang sempurna yang mendukung pergerakan ummah yang sempurna pada jalan yang lurus ke arah kesejahteraan di dunia dan keberkekalan di syurga; sedangkan politik hanyalah ciptaan manusia semata-mata dalam mengejar pengaruh, kuasa dan kebendaan di dunia. Tiga perkara ini adalah perangkap utama iblis dan syaitan.
Persoalan 3: Pemimpin sebagaimanakah yang dianjurkan Islam?
Islam tidak pernah menganjurkan kepemimpinan kerana hak menjadi pemimpin umat Islam ialah hak Tuhan melalui perjanjian al-Quran (QS.7:3). Hak melantik pemimpin juga hak Tuhan. Pemimpin, imam dan khalifah ummah yang pernah dilantik oleh Tuhan seperti disebut al-Quran (QS.2:124, QS.21:72-73 dan QS.38:26) hanya 4 orang iaitu Nabi Ibrahim (a.s.), Nabi Ishak (a.s.), Nabi Yaakub (a.s.) dan Nabi Daud (a.s.). Terdapat juga 12 orang pemimpin dari Bani Israel yang diangkat tetapi dikutuk Tuhan kerana mungkir janji (QS.5:12-13). Para nabi dan rasul lain disifatkan sebagai hamba-hamba Nya yang menyampaikan amanat, penjelasan dan peringatan.
Persoalan 4: Apakah kuasa dan kepemimpinan dari sudut Islam?
Kuasa dan kepemimpinan adalah hak Allah yang Maha Kuasa semata-mata. Manusia yang beriman hanya berhak menjadi hamba-hamba Nya atau keluar iman menjadi hamba syaitan.
Janji dari Tuhan,
"Hai orang-orang yang beriman, barang siapa di antara kamu yang murtad dari agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan mereka pun mencintai-Nya, yang bersikap lemah lembut terhadap orang yang mukmin, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad di jalan Allah, dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela. Itulah karunia Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui." (QS. al-Maaidah 5:54)
"Dan di antara orang-orang yang Kami ciptakan ada umat yang memberi petunjuk dengan hak, dan dengan yang hak itu (pula) mereka menjalankan keadilan." (QS. al-A'raf 7:181)

.jpg)
7 comments:
Salam Zaidi,
saya sangat bersetuju dan sependapat..knp harus menggadai dan mempolitikkan agama Allah dan saya sendiri tidak pernah membaca mana2 hadis yg secara khusus menerangkan cara Rasulullah berpolitik kerana tidak wujud sistem sebegitu dizamannya krn sistem sebegini hanya boleh memecahbelahkan ummah dan amat jelas umat islam kini juga telah terpisah kepada beberapa golongan..tidakkah boleh kita hidup hanya berlandaskan alQuran dan sunnah dan tiada kepentingan dan agenda yg tersendiri krn diakhir cerita nanti kita tetap harus kembali mengadapnya dan tidak juga akan ditanya oleh Allah..parti apakah yg kita sertai sewaktu hidup dan pangkat2 juga tidak berguna disisi Allah..hanya amalan dan takwa yg dibawa bersama.. azab neraka ttp menunggu tidak kira siapa kita dan diparti manakah kita samada PAS, UMNO, PKR, BEBAS dan lain2 parti..disisi Allah kita tetap sama..yg membezakan hanyalah amalan..PARTI adalah hanya satu pertubuhan yg terkadang digunakan oleh sesetengah orang utk tujuan tertentu dan berkepentingan peribadi..Wallahualam..
Maaf yer sekadar luahan hati seorang hamba Allah yg tidak suka melihat umat islam berpecah belah hanya PARTI ..
Salam Zaidi.
Entri kali ini agak berat juga kerana ianya terpaksa menggunakan beberapa bidang ilmu untuk meneruskan perbincangan kita, berlabih-lebih lagi ini suatu pandangan pula.
Pada amnya saya bersetuju dengan Zaidi dan Zai di mana asas Islam yang diterangkan memang berpijak di bumi yang nyata.
Masalahnya sekarang kita sedang berada di dalam satu situasi di mana situasi itu menuntut kita melibatkan diri sama ada secara langsung atau tidak langsung, sekiranya kita tidak melibatkan diri situasi akan menjadi lebih buruk.
Pada saya Islam telah menyediakan dasarnya untuk manusia menjadikannya panduan hidup sama ada kita terlibat di dalam Sains, politik (siasah) , perniagaan dan seumpamanya wajib berpandukan dasar tersebut, kehidupan harian kita tidak akan terkeluar daripada ruang cakup hukum yang telah ditetapkan iaitu wajib,haram,sunat,mubah dan makruh. salah satu hukum itu akan terlibat dengan perbuatan kita.
Jika kita sedang berada di dalam situasi tertentu yang memerlukan kita membuat keputusan dan memihak, maka lima hukum tadi semestinya dirujuk kerana kita seorang Islam. Islam kita bukan pagi atau petang sahaja, Islam kita sepanjang hayat dan hukum tadi juga terikat sepanjang hayat pada diri kita.Kalau mengabaikan hukum tersebut aqidah kita mungkin akan terjejas.
Rasanya itulah yang dikatakan Islam itu suatu cara hidup.
Gelumbang hidup telah pun berada bersama kita maka kita perlulah menanganinya secara Islamik kerana kita tidak mungkin berupaya mencipta gelumbang itu selagi tidak berkuasa sama ada kuasa politik, kuasa kekayaan atau kuasa ilmu yang diizinkan Allah.
Hanya sekadar pandangan ringkas,itupun mungkin terdapat yang tercicir, Harap dapat dimantapkan lagi.
Salam Zai.
Bendera-bendera parti yang bukan untuk ke jalan Allah akan dihempuk ke muka mereka, tiang-tiang bendera akan disula masuk...di akhirat kelak Tuhan lebih mengetahui.
Nad uzubillah.
Entri ini memang janggal sebab saya karang selepas zuhud (meninggalkan dunia fana) 1 hari.
Kiranya saya respek kat Zai kerana berani komen entri sebegini. Kalau dibaca dengan hati yang besar seolah-olah memperkecilkan kepimpinan Rasulullah (s.a.w.). Kalau dibaca dengan hati yang merendah...kita akan nampak kepimpinan Tuhan mengatasi segala rasul dan malaikat. Setelah kewafatan Rasulullah (s.a.w.), kita hanya ada Allah yang memimpin ummah. Hadis-hadis pun telah banyak dipinda & direka dengan agenda menghalalkan sesuatu yang haram dan mengharamkan sesuatu yang halal. Cuma al-Quran sebagai penyuluh dan Allah sebagai Tuhan yang memimpin ummah.
Sewajarnya semua "pemimpin-pemimpin" negara sekarang di gelar "penguasa negara" kerana kuasa yang mereka cari. Seorang "penguasa negara" tidak layak memimpin ummah (umat Islam) setelah kewafatan Nabi. Nik Aziz pun mula memaki orang kerana kuasa. Ulamak-ulamak tersohor yang mengikut Nik Aziz sepatutnya pergi berzuhud sebulan di Gua Hira' supaya mereka takut memegang gelaran "pemimpin ummah" kerana tanggungjawab yang tersangat-sangat berat. Kelak disoal di akhirat dengan soalan-soalan yang sangat berat.
salam...
nampaknya islam tak lengkap lagi la ye kat m'sia ni..
nampaknya islam & politik kena pisahkn la ye kat m'sia ni..
agaknya sape la yg layak perintah ms'sia ni hingga lahir2nya orang2 yg benar2 mengikut kehendak tuhan kalau semua ulamak berzuhud dlm gua..
kalau hadis2 dah d pinda oleh ulamak2 utk kepentingan nampaknya al quran pon ade sikit2 dipinda..kan lebh 1400 macam2 bley berlaku utk kepentingan masing2..
cuma konpius sape plak yg membawa quran dr dulu hingga kini..kalau semua makluq dah x bley caya?..takan tuhan hantar terus dlm hati...nampak ke? hehehehe..
jom merapu kat tempat gua..
Salam Leenoh & Zulmin.
Komen kepada Zai juga ditujukan kepada Leenoh & Zulmin.
Walau apa pun yang mencabar kehidupan, kita mesti fokus dan jangan hilang arah.
"Jalan yang Lurus kita cari, jalan yang gelap kita tinggalkan dan jalan yang diredhai kita selami."
Tuhan akan sentiasa memimpin ke Jalan Lurus yang diredhai.
Cuba kita bertanya kepada diri sendiri kenapa PAS memperjuangkan politik Islam bersama para ulamak
yang hebat-hebat tetapi masih gagal memerintah negara walaupun setelah 52 tahun merdeka? Wajib percaya Qada dan Qadar. Tidak terbayangkah kita sekiranya PAS diredhai berkuasa memerintah, tauhid semua para pengikut dan ulamak-ulamak besar akan condong kepada kuasa, kebendaan dan akhirnya kekufuran?
Berapa ramaikah ulamak yang akan dihempuk amalannya ke muka kerana menjadi pengikut-pengikut setia?
Tidak sedarkah kita apa yang telah terjadi kepada ajaran Nabi Isa (a.s.) & Nabi Musa (a.s.) hanya kerana ketamakan pengikut-pengikut setianya?
Buat Zulmin, zuhud sebulan tak leh yer...setahun ada 365 hari. Kita kerja paling kuat pun 121 hari setahun. Tidur paling banyak pun 91 hari setahun. 153 hari lagi buat apa? Nanti senang saya pi 'merapu' kat blog Zulmin. Nanti kita sembang panjang.
Merunsingkan!
Dalam beberapa BLOG/ FORUM/ CERAMAH yang saya ikuti, ada beberapa intipati TEGAR dalam isinya:-
Contoh 1:
ada sebuah BLOG penyokong parti politik tempatan meletakkan TAJUK SASARAN/HEADLINE mereka berbunyi
'HANYA UMNO MAMPU MENJAGA KEPENTINGAN MELAYU'. Mengikut pemahaman saya, orang yg bertanggungjawab mengurus BLOG ini sudah tersasar aqidahnya kerana meletakkan parti itu lebih besar dari kuasa ALLAH SWT. Manakan mampu parti jika tidak diizinkan ALLAH SWT.
Contoh 2:
Dalam suatu ceramah berunsur kempen politik banyak bunyi begini didengari ' masa parti BN/PEMBANGKANG memerintah, rakyat hidup susah tapi apabila kami memerintah rakyat menikmati kemewahan'.
Ini juga satu lagi analogi yang bagi pemahaman saya ianya juga tersasar dari aqidah Islam. Manakan kamu (penceramah) tahu susah senang, hidup mati, rezeki dan jodoh itu berubah dengan kerja kamu sedangkan ianya kurniaan ALLAH SWT jua.
Banyak sangat hendak ditulis tapi cukup sekadar ringkas sebegini dan carilah sendiri untuk lebih kepastian.
P/S: letih seharian mengembara dengan keretapi, berjumpa kenalan baru dan Insya Allah setiap jodoh pertemuan itu mengeratkan lagi tali SOLIDARITI MUSLIM DAN MUKMIN
Salam Hero.
Sebaiknya ucapan sedemikian dielakkan kerana ia menunjukkan sikap takbur iaitu mendahului kekuasaan Tuhan dan juga menampakkan kejahilan si penyampai. Sekiranya terlepas cakap sedemikian wajib disusuli dengan ucapan "insyaAllah".
Post a Comment