ya ALLAH ya TUHAN-ku.
ENGKAU turunkanlah azab-MU ke atas si makhluk-makhluk munafikun yang hanya ENGKAU saja TUHAN YANG MAHA MENGETAHUI segala rahsia hati mereka...kerana tidak berlaku amanah kepada TUHAN YANG MAHA MERAJAI-segala raja. TUHAN YANG MAHA MEMERINTAH-segala pemerintah, TUHAN YANG MAHA MEMBERI-segala kerajaan, TUHAN YANG MAHA KERAS-segala azab, TUHAN YANG MAHA MENGHAKIMI-segala hakim, TUHAN YANG MAHA MEMATIKAN-segala makhluk..
berkat doa لا إله إلاَّ الله
..dengan setiap kerlipan mata dan hela-hembus nafas,
ku sebut ASMA-MU.

KLIK SEPANDUK DI BAWAH UNTUK KE SITUS MOUNT HIRA :

Mount Hira Learn Ayat Al-Kursi

Wednesday, July 29, 2009

Jihad Hati



"JIHAD HATI"

Entri ini aku cetuskan istimewa buat Ibu Tersayang yang pada hari ini genaplah sudah 40 tahun aku dilahirkan ke muka bumi yang penuh dengan ujian dari ALLAH, Tuhan Yang Maha Esa.


Mukadimah

Ramai yang terlepas pandang akan sejenis senjata yang dipunyai oleh setiap orang beriman. Senjata yang dianugerah kepada setiap anak Adam yang mengaku beriman. Senjata asas para Anbiya yang lebih tajam dari pedang dan lebih bermagnitud daripada ledakan nuklear. Senjata yang diceritakan rahsianya kepada Adam. Senjata yang boleh menubuhkan sesebuah kerajaan dan boleh menghancurkan sesebuah kerajaan. Senjata yang paling ditakuti iblis, syaitan, dajjal, jin dan segala makhluk yang bernyawa. Senjata yang paling disayangi malaikat dan diberkati Allah SWT.

Tapi sayang beribu kali sayang, senjata ini telah semakin berkarat dan berkubur dalam jiwa insan. Senjata ini telah dioksidakan oleh gelodak nafsu. Senjata ini telah diperkosa oleh cinta kebendaan. Senjata ini telah dibenam syaitan ke dalam ulu hati.

Senjata ini Hak Adam untuk diwarisi kepada semua anak-anaknya yang beriman. Lesennya ialah Syahadah. Larasnya selurus Jalan yang Lurus. Pelurunya ialah Taqwa. Penggilapnya ialah Iman. Pemicunya ialah Solat. Penyucinya ialah Zakat. Ilmu bidiknya dari Kalimah Tuhan. Pengajarnya ialah para Rasul. Pencipta dan Pemeliharanya ialah Allah SWT.

Senjata ini bukan Membunuh tetapi Menyelamatkan. Senjata ini bukan Menghukum tetapi Menginsafkan. Senjata ini bukan Merampas yang Hak tetapi Menenggelamkan yang Batil. Senjata ini bukan Menimbulkan yang Batil tetapi Memunculkan yang Hak. Senjata ini bukan Membidik Musuh tetapi Membidik Diri.

Senjata ini ialah Hati. Perjuangannya ialah Jihad. Laluannya ialah Fisabilillah. Ganjarannya ialah Pahala. Misinya ialah Syurga. Amarannya ialah Neraka. Kemenangannya ialah Kiamat. Ketakutannya hanya kepada Allah SWT.

Pantangnya ialah Riba, Rezeki Haram, Tamak Haloba, Dengki Khianat, Zina, Arak, Judi, Riak dan Takbur.


Jihad Hati: Asas Untuk Jihad Jiwa

Sekiranya kita keluar ke medan pertempuran dengan semangat kental demi mendaulatkan suku, etnik, parti politik dan negara maka jadilah kita pejuang suku, pejuang etnik, pejuang parti dan pejuang negara.

Sekiranya kita keluar ke medan pertempuran dengan penyerahan hati, jiwa (nyawa) dan harta semata-mata mendaulatkan agama Islam tanpa sebarang matlamat lain maka jadilah kita penjihad ke jalan Allah.

Penyerahan hati, jiwa (nyawa) dan harta semata-mata kerana agama Allah SWT itulah asas untuk Jihad Jiwa dan asas ini disebut sebagai Jihad Hati.

Jihad Hati semakin perlu apabila umat Islam semakin disesatkan oleh materialisme dan penjajahan minda kerana Jihad Jiwa tidak dapat membunuh kesesatan, materialisme dan penjajah minda. Hanya Jihad Hati berupaya membunuh kesesatan, materialisme dan penjajah minda yang merupakan batu penghalang kepada Jihad Jiwa.


Jihad Hati dalam Kemenangan Perang Badar

1 lawan 3. Sebilah pedang lawan tiga. 10 pesawat MIG-29 lawan 30 pesawat F-16. Begitulah persamaan Perang Badar. 313 lawan 1,000. Yang Lemah melawan Yang Kuat namun Jihad Hati telah menjadikan Yang Lemah sebagai "sebab" untuk Yang Maha Berkuasa memusnahkan Yang Kuat. Firman Tuhan yang bermaksud,

"Sungguh Allah telah menolong kamu dalam peperangan Badar, padahal kamu adalah (ketika itu) orang-orang yang lemah. Kerana itu bertakwalah kepada Allah, supaya kamu mensyukuri-Nya." (QS. al-Imron 3:123)

3 Paras Jihad Hati:

Paras 1: Bersuci Dan Beramal

Prosedur:-
  1. Bersyahadah dan bertaubat nasuha dengan menyesali dan mengakui segala kesilapan terhadap Allah SWT dan segala kezaliman terhadap diri sendiri. Tunaikan solat 5 waktu.
  2. Berzuhud dengan serendah-rendah hati dan berserah sebagai seorang hamba Nya. Menginsafi matlamat dijadikan, matlamat dihidupkan, matlamat dimatikan dan matlamat dibangkitkan semula.
  3. Memohon petunjuk supaya dibukakan hati untuk dipimpin Tuhan ke jalan Nya yang lurus. Jangan tinggal ibadah yang wajib, pertambahkan ibadah yang sunat.
  4. Membersihkan diri dari menerima atau memberi riba dan makanlah hanya dari rezeki yang halal. Tukarkan skim pinjaman konvensional (membeli rumah, kereta dan aset lain) kepada skim Perbankan Islamik. Hapuskan kad kredit dan runding dengan bank untuk pembayaran semula baki pokok sahaja. Minta bank lupuskan baki faedah riba kepada Baki Hutang Lapuk. Pastikan sumber rezeki harian bebas dari unsur-unsur penindasan, rasuah dan salah guna kuasa. Nafkahkan harta berlebihan sebagai zakat yang menyucikan harta. Beri sedekah kepada fakir miskin dan anak yatim.
  5. Mengelakkan dari makan makanan yang kotor berunsur babi, lemak babi dan lain-lain bahan yang diharamkan. Elakkan dari makanan yang disediakan oleh non-Muslim. Banyakkan berselawat atas Nabi.

Paras 2: Membentuk Keyakinan Hati

Prosedur:-
  1. Membaca dan Memahami sekurang-kurangnya satu surah al-Quran setiap hari. Pemahaman al-Quran datangnya dari hati yang rendah memohon petunjuk dan kekuatan iman.
  2. Hilangkan ketakutan kepada sesama manusia dan kepada sesama makhluk. Sayangi makhluk yang lemah dan bersyukur atas segala ciptaan Nya. Takut hanya kepada Allah SWT.
  3. Tanamkan sifat benci kepada iblis, syaitan, pengaruh syaitan, dajjal bertopeng manusia, kafir yang memusuhi Islam dan yahudi laknatullah. Laknati mereka maka iblis dan syaitan juga menjauhi kita dengan izin Allah SWT. Semakin jauh iblis dan syaitan, semakin khusyuk solat kita.
  4. Tanamkan sifat benci kepada kemungkaran dan kebatilan. Sayangi amal makruf dan kebenaran yang hak.

Paras 3: Berjihad Hati

Apabila hati dan telah suci serta beramal, tubuh badan sudah bersih dan keyakinan kepada hak mengatasi kebatilan maka jihadlah dengan izin Allah melalui:
  1. Menembak unsur-unsur kekotoran hati pada diri sendiri.
  2. Menembak unsur-unsur kekotoran hati pada keluarga dan sanak saudara,
  3. Menembak unsur-unsur kekotoran hati pada rakan dan masyarakat.
  4. Menyeru setiap manusia beriman yang dikenali ke arah jihad hati.

Paras 4: Berdoa dan Bertawakkal

Kelebihan yang orang beriman tidak nampak terhadap amalan Doa ialah Ketaqwaan. Semasa berdoa (dengan merendah diri), apa yang Allah SWT kurniakan sewaktu itu ialah Ketaqwaan. Ketaqwaan ialah kekuatan yang datang dari hati yang menghambakan memohon sesuatu dari Tuhan. Ketaqwaan akan menambah keimanan di dalam hati. Berdoalah dengan lembut seperti peminta sedekah. Gunalah apa bahasa sekalipun asalkan doa datang dari hati yang ikhlas. Elakkan guna bahasa yang kita kurang fahami. Namun bahasa hatilah yang paling berkesan. Merayu dan menangislah dengan ikhlas.

Bertawakkal pula kita hanya kepada Allah SWT yang menentukan setiap ketetapan. Bertawakkal ialah merendah diri dengan berserah hanya kepada Allah SWT. Bertawakkal sepanjang masa bermakna mendekatkan diri kepada Allah SWT sepanjang waktu. Hanya mereka yang dekat dirinya kepada Allah SWT sahaja dimakbulkan doanya ke arah kebaikan manakala mereka yang tidak bertawakal akan dimakbulkan juga tetapi akan semakin jauh dari Allah SWT. Sepatutnya orang yang bertawakkal sentiasa sedar kenapa doanya untuk "menjadi kaya" tidak dimakbulkan Tuhan?

Soalan-soalan Temuduga Sebelum Layak Berjihad Hati
(Amaran: Sekiranya lemah iman, dilarang membacanya!)

Kita, sebagai seorang yang beriman sepatutnya faham menilai jawapan-jawapan kepada soalan-soalan berikut:-

  • Adakah bumi dan segala cakerawala ini wujud dengan sendiri tanpa Pencipta?
  • Jawapan: Bumi dan segala cakerawala diciptakan oleh Penciptanya yang bersifat wujud iaitu Allah SWT.

  • Kenapa bumi dan segala isinya (selain manusia) termasuk cakerawala dicipta dan kenapa sebegitu hebat ciptaan Nya?
  • Jawapan: Bumi dan segala isinya termasuk cakerawala diciptakan hanya supaya manusia bersyukur. Ciptaan sebegitu hebat supaya manusia mengakui wujudnya Tuhan Maha Pencipta lagi Maha Berkuasa.

  • Berapakah umur Adam pada hari ini dan berapakah umur bumi pada hari ini?
  • Jawapan: Umur Adam pada hari ini (Tahun 2009) sekitar 6,000 tahun dan umur bumi sekitar 4,500,000,000 tahun.

  • Kenapa begitu besar beza usianya?
  • Jawapan: Tuhan menciptakan Bumi beribu juta tahun sebelum dicipta Nya Adam supaya manusia mengakui bahawa Tuhan Maha Mengetahui yang menjadikan sesuatu untuk sesuatu yang bakal dijadikan. Fosil petroleum dari dinasour dan tumbuhan gergasi, logam bumi, arang batu, granit, batu kapur, hutan kayu, kestabilan gunung dan tanah, kesimbangan hujan dan lautan, keseimbangan udara dan gas, kesuburan tanah dan lahar gunung berapi serta lain-lain zat penciptaan semuanya mengambil masa beribu juta tahun untuk stabil dan membuahkan hasil kepada keperluan manusia. Semua penciptaan Nya mengikut tertib dan mengikut ukuran-ukuran tertentu yang boleh dikaji secara logik oleh akal manusia. Sekiranya Tuhan menciptakan bumi sekelip mata maka sudah tentulah setiap manusia akan sujud patuh kepada Nya tanpa seorang pun yang kafir dan sesat. Semua penemuan arkeologi tulang temulang "manusia zaman batu yang berusia puluhan ribu dan ratusan ribu tahun" adalah bidaah golongan naturalis bertujuan untuk menyesatkan orang beriman agar percaya akan Teori Evolusi yang menidakkan Hukum Penciptaan oleh Pencipta. Kenapakah tulang-temulang tersebut tidak pernah berjaya dibuktikan secara DNA untuk mengaitkannya dengan DNA manusia? Sebenarnya tulang-tulang itu kepunyaan beruk yang dijadikan beratus ribu tahun sebelum diciptakan Adam. Struktur tulang rangka beruk 98% menyamai tulang rangka manusia, cuma bezanya lubang saraf tunjang ditengkorak manusia 2X lebih besar dan tengkorak manusia 3X lebih besar (isipadu otaknya) berbanding beruk.

  • Kenapa Allah SWT mencipta Adam dan kenapa Adam diperintah turun ke bumi?
  • Jawapan: Adam dan anak Adam dicipta supaya bersujud menyembah Allah SWT, seperti juga sujudnya malaikat. Diperintah Nya turun ke bumi supaya diuji kesetiaannya kepada Tuhan Maha Pencipta. Siapa yang setia akan mengisi syurga manakala yang derhaka akan mengisi neraka.

  • Kenapa diciptakan Syurga dan Neraka?
  • Jawapan: Supaya ianya diisi oleh manusia yang sempurna kejadiannya yang boleh membezakan yang dosa dan yang pahala.

  • Kenapa diciptakan iblis dan para malaikat?
  • Jawapan: Supaya mengerjakan segala tugas yang di perintah Allah SWT dan bersujud kepada Nya. Tiada sebarang satu ayat pun dalam al-Quran yang menyatakan iblis tidak sujud kepada Allah SWT. Iblis cuma tidak mahu sujud kepada manusia!

  • Kenapa iblis tidak sujud kepada Adam manakala para malaikat bersujud kepada Adam?
  • Jawapan: Kerana iblis diberi tugas untuk menguji anak-anak Adam!
  • Dalilnya dari firman-firman Allah, Tuhan Yang Maha Bijaksana yang bermaksud,

"Dan Allah sekali-kali tidak akan menyesatkan suatu kaum, sesudah Allah memberi petunjuk kepada mereka hingga dijelaskan-Nya kepada mereka apa yang harus mereka jauhi. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu." (QS. at-Taubah 9:115)
"Dan tidaklah bermanfaat kepadamu nasihatku jika aku hendak memberi nasihat kepada kamu, sekiranya Allah hendak menyesatkan kamu, Dia adalah Tuhanmu dan kepada-Nya-lah kamu dikembalikan." (QS. Huud 11:34)

"Orang-orang kafir berkata: "Mengapa tidak diturunkan kepadanya (Muhammad) tanda (mukjizat) dari Tuhannya?" Katakanlah: "Sesungguhnya Allah menyesatkan siapa yang Dia kehendaki dan menunjuki orang-orang yang bertobat kepada Nya"," (QS. ar-Ra'du 13:27)

"Kami tidak mengutus seorang rasul pun, melainkan dengan bahasa kaumnya, supaya ia dapat memberi penjelasan dengan terang kepada mereka. Maka Allah menyesatkan siapa yang Dia kehendaki, dan memberi petunjuk kepada siapa yang Dia kehendaki. Dan Dia-lah Tuhan Yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana." (QS. Ibrahim 14:4)

"Allah meneguhkan (iman) orang-orang yang beriman dengan ucapan yang teguh itu dalam kehidupan di dunia dan di akhirat; dan Allah menyesatkan orang-orang yang zalim dan memperbuat apa yang Dia kehendaki." (QS. Ibrahim 14:27)

"Dan kalau Allah menghendaki, niscaya Dia menjadikan kamu satu umat (saja), tetapi Allah menyesatkan siapa yang dikehendaki-Nya dan memberi petunjuk kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan sesungguhnya kamu akan ditanya tentang apa yang telah kamu kerjakan." (QS. an-Nahl 16:93)

"Maka apakah orang yang dijadikan (setan) menganggap baik pekerjaannya yang buruk lalu dia meyakini pekerjaan itu baik, (sama dengan orang yang tidak ditipu oleh setan)? maka sesungguhnya Allah menyesatkan siapa yang dikehendaki-Nya dan menunjuki siapa yang dikehendaki-Nya; maka janganlah dirimu binasa karena kesedihan terhadap mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat." (QS. Fathir 35:8)

"Iblis menjawab: "Demi kekuasaan Engkau aku akan menyesatkan mereka semuanya"," (QS. Shaad 38:82)

"Dan tidak adalah kekuasaan iblis terhadap mereka, melainkan hanyalah agar Kami dapat membedakan siapa yang beriman kepada adanya kehidupan akhirat dari siapa yang ragu-ragu tentang itu. Dan Tuhanmu Maha Memelihara segala sesuatu." (QS. asy-Syuara' 34:21)

"Dan tiada Kami jadikan penjaga neraka itu melainkan dari malaikat; dan tidaklah Kami menjadikan bilangan mereka itu melainkan untuk jadi cobaan bagi orang-orang kafir, supaya orang-orang yang diberi Al-Kitab menjadi yakin dan supaya orang yang beriman bertambah imannya dan supaya orang-orang yang diberi Al-Kitab dan orang-orang mukmin itu tidak ragu-ragu dan supaya orang-orang yang di dalam hatinya ada penyakit dan orang-orang kafir (mengatakan): "Apakah yang dikehendaki Allah dengan bilangan ini sebagai suatu perumpamaan?" Demikianlah Allah menyesatkan orang-orang yang dikehendaki-Nya dan memberi petunjuk kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan tidak ada yang mengetahui tentara Tuhanmu melainkan Dia sendiri. Dan Saqar itu tiada lain hanyalah peringatan bagi manusia." (QS. al-Mudatsir 74:31)

4 comments:

Leenoh said...

Salam Zaidi.
Selamat Ulangtahun Hari Lahir ke:40. didoakan agar sihat walafiat dan diberkati Allah sepanjang masa seisi keluarga.amin.
Kalau zaman umur 30an ibarat sedang di dalam zon mendaki bukit dan umur 40an pula tentulah sedang berada di puncak bukit dan sedang berkira-kira untuk turun ke bawah kerana tanah datar berada sejarak mendaki juga, cuma aktiviti menurun bukit mungkin lebih laju pergerakannya. Jika puncak itu luas kawasan dan tanah ratanya akan berada lama di sana.
Bagi diri saya penurunannya sudah hampir menjejakkan kaki di kaki bukit.
Semoga sampai di kaki bukit dalam keadaan sejahtera dan bahagia.

zaidi ali said...

Salam Leenoh.
Selamat kembali ke atas Leenoh & famili. Macam tau-tau saya kerja di puncak bukit! Sebenarnya saya sudah 5 bulan tidak naik ke puncak bukit 320m dari aras bumi. Pengalaman setiap hari di puncak bukit memang asyik dan nyaman. Tiada apa yang boleh membahayakan kita. Cuma hujan batu dari langit saja dapat memusnahkan. Semakin lama di atas puncak semakin rindu di bawah sana. Rupanya kehidupan di bawah sini lebih bermakna. Lebih mendekatkan saya kepada kehidupan di bawah tanah....asal kita dari tanah.

zai said...

Salam Zaidi..
Selamat Hari Lahir yang ke 40. Semoga Panjang Umur dan dimurahkan rezeki dari setiap penjuru..

Tak sangka sama umur dgn suami saya rupanya...Semoga menjadi Suami dan Bapa yang Terbaik.. :>

Teruskan perjuangan utk berdakwah. Moga2 sumbangan ilmu2 yang diberikan memberi manfaat kepada semua pembaca Blog Long Tambang dan diberkati Allah dan mendapat pahala ganjaran dari NYA..

zaidi ali said...

Salam Zai.
Terima kasih atas doa. Saya pun doakan Zai & famili & seluruh umat Islam dimurahkan rezeki dan diberkati Nya.

Semoga saya dan suami Zai sentiasa disokong oleh isteri2 terbaik..cewaah!

Sama-sama kita berkongsi ilmu & pahala (kalau diizin Nya)...insya Allah.