ya ALLAH ya TUHAN-ku.
ENGKAU turunkanlah azab-MU ke atas si makhluk-makhluk munafikun yang hanya ENGKAU saja TUHAN YANG MAHA MENGETAHUI segala rahsia hati mereka...kerana tidak berlaku amanah kepada TUHAN YANG MAHA MERAJAI-segala raja. TUHAN YANG MAHA MEMERINTAH-segala pemerintah, TUHAN YANG MAHA MEMBERI-segala kerajaan, TUHAN YANG MAHA KERAS-segala azab, TUHAN YANG MAHA MENGHAKIMI-segala hakim, TUHAN YANG MAHA MEMATIKAN-segala makhluk..
berkat doa لا إله إلاَّ الله
..dengan setiap kerlipan mata dan hela-hembus nafas,
ku sebut ASMA-MU.

KLIK SEPANDUK DI BAWAH UNTUK KE SITUS MOUNT HIRA :

Mount Hira Learn Ayat Al-Kursi

Thursday, July 9, 2009

AH LONG DAN AH BENG




BERHUTANG DENGAN AH LONG DAN AH BENG

MUKADIMAH

Siapa yang tidak pernah susah? Bukan semua orang dilahirkan senang dengan sudu emas dan perak. Wang yang banyak perlu untuk membeli rumah, kereta dan membiayai pelajaran anak-anak di universiti. Hendak mulakan perniagaan juga perlukan wang modal. Mana hendak dicekau wang puluhan ribu atau ratusan ribu ringgit? Hanya ada dua pilihan; terpaksalah meminjam atau lupakan sahaja!

AL-KISAH DI ZAMAN JAHILIYYAH

Semenjak zaman jahiliyyah lagi sistem perniagaan bercorak permintaan dan penawaran telah diamalkan. Secara lumrahnya, bila ada permintaan (pembeli) adalah penawaran (penjual). Bila ada permintaan, wujudlah pula permintaan dari golongan yang kurang mampu. Bermakna, dinar yang ada tidak mencukupi untuk membeli keperluan yang dihajati. Golongan "Ah Long" pada zaman jahiliyyah mula nampak permintaan dari golongan yang kurang mampu ini lalu menawarkan pinjaman atau pembiayaan untuk pembeli. Bagi "Ah Long" yang belajar dari guru mereka (suku sakat firaun) kaedah mengambil kesempatan di atas kesusahan orang kurang mampu ini maka terbeliaklah nafsu untuk "mengaut keuntungan tanpa servis" apabila telah menjadi lumrah kehidupan bahawa "orang kurang mampu mendominasi dunia berbanding orang kaya yang amat sedikit bilangannya".

Terdapat 3 jenis permintaan pasaran;[1] golongan yang perlukan dinar untuk berniaga tetapi modal tidak mencukupi; [2] golongan berpendapatan rendah yang berkeinginan memiliki kuda atau membina rumah tetapi tiada cukup wang; dan [3] golongan petani yang miskin tetapi ada sedikit tanah sekangkang kera.

Golongan yang "papa kedana" tidak dilayan kerana sudah tentu tidak akan dapat membayar hutang!

Pinjaman pokok diberikan dan sudah tentu mesti dibayar balik bersama faedah (interest) yang berlipat kali ganda dan sememangnya suku sakat firaun ini mahukan faedah tinggi. Sudah tentu mereka mempromosikan slogan,

"Kami bukan Ah Long tetapi cuma nak tolong dan kami bukannya Jabatan Kebajikan Masyarakat tetapi berkhidmat kepada masyarakat!".

Maka golongan yang hendak meno[long] ini dikenali sebagai "Ah Long". Ilmu "Ah Long" ini wujud semenjak zaman Nabi Musa (a.s.) lagi dan ia dipelopori oleh suku-sakat firaun yang kaya-raya. Qarun (Karun) pun salah seorang dari mereka. Walaupun suku-sakat firaun telah ditenggelami lautan dan Qarun bersama istana serta hartanya telah ditenggelami bumi, ilmu "Ah Long" ini tetap wujud sehingga akhir zaman kerana guru asalnya ialah iblis dan syaitan.

Di sebabkan tidak mampu membayar hutang "Ah Long" maka tergadailah tanah sekangkang kera, rumah, kedai, kuda malahan anak dan isteri.

BERBALIK KE ZAMAN SEKARANG

Kedudukan umat Islam yang masih mengamalkan riba di zaman sekarang bolehlah dianggap lebih hina dan lebih jahil daripada di zaman jahiliyyah dahulu kerana amalan riba amat berleluasa walaupun setelah diturunkan al-Quran dan walaupun setelah diutus Rasul terakhir. Bermakna umat Islam kini sedang menuju ke era kehancuran yang lebih total berbanding di zaman jahiliyyah.

PERBANDINGAN 'AH LONG' DAN SYARIKAT PEMBERI PINJAMAN

"Ah Long" ditakrifkan sebagai golongan yang meminjamkan wang mereka (pemiutang) kepada orang yang menerima pinjaman tersebut (penghutang) dengan mengenakan faedah riba yang tinggi yang telah dipersetujui terlebih dahulu. Secara perundangannya, "Ah Long" tidak mempunyai Pendaftaran Perniagaan, lesen dari Kementerian Kewangan Malaysia dan lesen dari Bank Negara Malaysia. Prosedur pengurusan dan penagihan balik hutang mereka tidak dipantau oleh Bank Negara. Apabila penghutang gagal membayar balik nilai pokok bersama faedah riba pada masa yang telah dijanjikan, faedah riba meningkat berlipat kali ganda. Peningkatan faedah riba berlipat kali ganda ini disebut faedah riba tambahan. Sebarang faedah yang melebihi nilai pokok yang bukan hak kepada "Ah Long" ditakrifkan sebagai riba. Penghutang akan diganggu secara mental melalui panggilan-panggilan telefon dan ugutan-ugutan keras yang kemudiannya disusuli dengan kekerasan, penderaan malah pembunuhan.

Pertuduhan ke atas "Ah Long" yang boleh disabitkan kesalahan ialah:-
  • Menyalahi Akta Syarikat 1965 kerana "berniaga" tanpa syarikat yang sah dan tiada lesen kewangan.
  • Menyalahi Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989 (BAFIA) kerana tidak berdaftar dengan Bank Negara.
  • Menyalahi Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram 2001 kerana melakukan transaksi wang haram.
  • Menyalahi Akta Polis 1967 kerana mengganggu privasi, mengugut dan menggunakan kekerasan.
  • Menyalahi Akta Hak Asasi Manusia 1999 kerana memberi tekanan mental.
  • Menyalahi Syariah kerana menganjurkan riba kepada penghutang beragama Islam.
"Syarikat Pemberi Pinjaman" ditakrifkan sebagai sebarang institusi kewangan (termasuk Bank dan Syarikat Kredit) yang meminjamkan(pemiutang) wang mereka atau wang-wang penyimpan (depositors) mereka kepada orang yang menerima pinjaman tersebut (penghutang) dengan mengenakan faedah riba yang telah dipersetujui terlebih dahulu. Secara perundangannya, "Syarikat Pemberi Pinjaman" mempunyai lesen dari Kementerian Kewangan Malaysia dan Bank Negara Malaysia. Prosedur pengurusan dan penagihan balik hutang mereka dipantau oleh Bank Negara. Apabila penghutang gagal membayar balik nilai pokok bersama faedah riba pada masa yang telah dijanjikan, pelbagai caj sampingan dan denda lewat dikenakan bersama faedah riba yang meningkat berlipat kali ganda. Peningkatan faedah riba berlipat kali ganda ini termasuk dengan caj-caj tambahan disebut faedah riba tambahan. Sebarang faedah yang melebihi nilai pokok yang bukan hak kepada "Syarikat Pemberi Pinjaman" disebut riba. Penghutang akan diganggu secara mental dengan panggilan-panggilan telefon dan surat-surat peringatan dari bank yang berupa ugutan-ugutan untuk mengenakan caj sampingan malah ugutan untuk mengenakan tindakan mahkamah atau memfailkan kes muflis di mahkamah sekiranya hutang tidak dapat dilunaskan penghutang.

Pertuduhan (ke atas syarikat sebegini) yang boleh disabitkan kesalahan ialah:-
  • Menyalahi Akta Polis 1967 kerana mengganggu privasi dan mengugut.
  • Menyalahi Akta Hak Asasi Manusia 1999 kerana memberi tekanan mental.
  • Menyalahi Syariah kerana menganjurkan riba kepada penghutang beragama Islam.

PENAKRIFAN RIBA

Penakrifan "riba" hanya boleh dibuat menurut al-Quran dan hadis sahih kerana terdapat sebilangan ulamak palsu yang cuba menghalalkan riba sedangkan penakrifan riba jelas tanpa samar di dalam al-Quran dan hadis sahih.

Terdapat 12 ayat dari al-Quran yang memperihalkan riba dan antaranya, maksud dari firman Tuhan,

"Orang-orang yang makan (mengambil) riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan syaitan lantaran (tekanan) penyakit gila. Keadaan mereka yang demikian itu, adalah disebabkan mereka berkata (berpendapat), sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba, padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. Orang-orang yang telah sampai kepadanya larangan dari Tuhannya, lalu terus berhenti (dari mengambil riba), maka baginya apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum datang larangan); dan urusannya (terserah) kepada Allah. Orang yang mengulangi (mengambil riba), maka orang itu adalah penghuni-penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya." (al-Baqarah 2:275)

"Allah memusnahkan riba dan menyuburkan sedekah. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang tetap dalam kekafiran, dan selalu berbuat dosa." (al-Baqarah 2:276)

"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan tinggalkan sisa riba (yang belum dipungut) jika kamu orang-orang yang beriman." (al-Baqarah 2:278)

"Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba), maka ketahuilah, bahwa Allah dan Rasul-Nya akan memerangimu. Dan jika kamu bertaubat (dari pengambilan riba), maka bagimu pokok hartamu; kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya." (QS. al-Baqarah 2:279)

"Dan jika (orang berhutang itu) dalam kesukaran, maka berilah tangguh sampai dia berkelapangan. Dan menyedekahkan (sebahagian atau semua hutang) itu, lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui." (QS. al-Baqarah 2:280)

"Dan peliharalah dirimu dari (azab yang terjadi pada) hari yang pada waktu itu kamu semua dikembalikan kepada Allah. Kemudian masing-masing diri diberi balasan yang sempurna terhadap apa yang telah dikerjakannya, sedang mereka sedikit pun tidak dianiaya (dirugikan)." (QS. al-Baqarah 2:281)

"Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu bermu`amalah tidak secara tunai untuk waktu yang ditentukan, hendaklah kamu menuliskannya. Dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menuliskannya dengan benar. Dan janganlah penulis enggan menuliskannya sebagaimana Allah telah mengajarkannya, maka hendaklah ia menulis, dan hendaklah orang yang berhutang itu mengimlakan (apa yang akan ditulis itu), dan hendaklah ia bertakwa kepada Allah Tuhannya, dan janganlah ia mengurangi sedikit pun daripada hutangnya. Jika yang berhutang itu orang yang lemah akalnya atau lemah (keadaannya) atau dia sendiri tidak mampu mengimlakan, maka hendaklah walinya mengimlakan dengan jujur. Dan persaksikanlah dengan dua orang saksi dari orang-orang lelaki di antaramu). Jika tak ada dua orang lelaki, maka (boleh) seorang lelaki dan dua orang perempuan dari saksi-saksi yang kamu ridai, supaya jika seorang lupa maka seorang lagi mengingatkannya. Janganlah saksi-saksi itu enggan (memberi keterangan) apabila mereka dipanggil; dan janganlah kamu jemu menulis hutang itu, baik kecil maupun besar sampai batas waktu membayarnya. Yang demikian itu, lebih adil di sisi Allah dan lebih dapat menguatkan persaksian dan lebih dekat kepada tidak (menimbulkan) keraguanmu, (Tulislah muamalahmu itu), kecuali jika muamalah itu perdagangan tunai yang kamu jalankan di antara kamu, maka tak ada dosa bagi kamu, (jika) kamu tidak menulisnya. Dan persaksikanlah apabila kamu berjual beli; dan janganlah penulis dan saksi saling sulit-menyulitkan. Jika kamu lakukan (yang demikian), maka sesungguhnya hal itu adalah suatu kefasikan pada dirimu. Dan bertakwalah kepada Allah; Allah mengajarmu; dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu." (QS. al-Baqarah 2:282)

"Jika kamu dalam perjalanan (dan bermuamalah tidak secara tunai) sedang kamu tidak memperoleh seorang penulis, maka hendaklah ada barang tanggungan yang dipegang (oleh yang berpiutang). Akan tetapi jika sebagian kamu mempercayai sebagian yang lain, maka hendaklah yang dipercayai itu menunaikan amanatnya (hutangnya) dan hendaklah ia bertakwa kepada Allah Tuhannya; dan janganlah kamu (para saksi) menyembunyikan persaksian. Dan barang siapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya ia adalah orang yang berdosa hatinya; dan Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan." (QS. al-Baqarah 2:283)

Ayat-ayat dari kalimah Tuhan di atas jelas menakrifkan riba sebagai "sesuatu bayaran balik yang melebihi nilai pinjaman pokok". Sebarang bentuk pembayaran balik yang melebihi nilai pokok samada telah dipersetujui atau berlaku dengan paksaan adalah riba. Setiap pinjaman hendaklah dicatit bila, berapa banyak dan berapa jumlahnya tanpa niat penghutang untuk mengurangkan jumlahnya. Perlu juga ada saksi-saksi yang jujur dan bertujuan untuk mengingatkan penghutang dan memberi keterangan.

Terdapat 4 faktor larangan dan 6 faktor suruhan dalam ayat-ayat di atas iaitu:-
  1. Larangan dan pengharaman ke atas riba.
  2. Larangan menyamakan jual beli dengan riba.
  3. Larangan mengulangi riba setelah menerima petunjuk.
  4. Larangan menyembunyikan persaksian.
  5. Suruhan bahawa jual-beli (perniagaan) itu dihalalkan.
  6. Suruhan meninggalkan sisa riba.
  7. Suruhan bersedekah.
  8. Suruhan supaya bertaubat, bertakwa dan memelihara diri.
  9. Suruhan supaya memberi tangguh (lanjutkan tempoh) pembayaran.
  10. Suruhan supaya melangsaikan hutang pokok.

Terdapat 4 faktor tanggungjawab dan 1 faktor hak didalam ayat-ayat di atas iaitu:

  1. Tanggungjawab penghutang ialah untuk melantik pencatit dan saksi-saksi serta membayar balik kesemua nilai pokok yang telah dipinjamnya. Sekiranya tiada pencatit (yang jujur), maka pemiutang berhak memegang harta cagaran. Saksi-saksi ialah 2 orang lelaki dari pihak penghutang atau seorang lelaki (jika kedapatan hanya seorang lelaki) dan 2 orang perempuan. Penghutang juga bertanggungjawab mengakui ke atas nilai yang dicatit.
  2. Tanggungjawab pemiutang ialah memberikan kelonggaran kepada penghutang dengan menangguhkan tempoh bayaran balik (tanpa faedah riba) sekiranya penghutang dalam kesusahan sehinggalah penghutang berupaya menyambung pembayaran balik.
  3. Tanggungjawab pencatit ialah berlaku jujur dan berupaya (berilmu) mencatit nilai samada kecil atau besar.
  4. Tangungjawab saksi-saksi ialah mengingatkan penghutang dan menghadirkan diri apabila dipanggil memberi keterangan.
  5. Hak pemiutang ialah mendapatkan balik wang pokoknya yang dipinjamkan (tanpa faedah riba) ATAU mensedekahkan kesemua pinjaman atau sebahagian nilai pinjaman kepada penghutang.

Maksud "bermuamalah tidak secara tunai" ialah transaksi berhutang atau membayar hutang yang tidak secara penuh (ansuran). "Tunai" di sini bermaksud selesai penuh (full settlement). Maknanya mesti mempunyai "akaun", "akuan" dan "saksi" kerana transaksi beransuran sebegini boleh mengwujudkan kecelaruan dan salahfaham.

Bagi memperjelaskan unsur riba dalam transaksi bukan dinar (non-cash transaction), Nabi Muhammad (s.a.w.) bersabda,

Abu Said Al-Khudari berkata, "Rasulullah bersabda : "Emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, syair dengan syair, kurma dengan kurma dan garam dengan garam dipertukarkan dengan sama, segenggam dengan segenggam. Siapa yang menambah atau minta tambah maka ia telah melakukan riba, baik yang meminta maupun yang memberi, dalam hal itu sama saja." Hadith Riwayat Al-Syaikhan.

Misalnya emas 916 ditukar 2 gram dengan dengan 1 gram emas 999, maka ribalah transaksi tersebut. Cara yang sepatutnya ialah menjual 2 gram emas 916 dan wang hasil jualan digunakan untuk membeli emas 999 mengikut nilai pasaran. Hikmah dari hadis ini ialah "sesuatu barangan yang nilainya zatnya begitu hampir dan boleh mencetuskan perbalahan (dispute) haram dilakukan 'barter trade' dan tergolong dalam perbuatan riba" iaitu "menambah nilaian sesuatu barangan yang sama zat pokoknya". Contoh kedua ialah Gula Malaysia direndah nilai berbanding Gula Amerika, walhal keduanya manis! Bagaimana dengan perniagaan pertukaran matawang asing? Tepuk dada tanyalah selera.

Hikmah dari pengharaman riba (samada riba dinar atau riba barangan) ialah kerana:-
  1. Riba pasti mencetuskan perbalahan dan permusuhan kerana pertikaian nilai.
  2. Riba pasti menganiaya dari segi hak iaitu pemiutang menagih yang bukan dari haknya.
  3. Sesuatu yang bukan hak pasti akan menjadi kotoran di dalam diri.
  4. Riba pasti memberikan tekanan ekonomi kepada penghutang kerana jumlah pinjaman bertambah.
  5. Riba pasti menyebabkan penghutang mengalami tekanan mental, putus asa dan melupakan Tuhan.
  6. Riba pasti menyebabkan pemiutang menjadi tamak, hilang sifat kemanusiaan, mengambil kesempatan atas kesusahan orang lain, hilangnya sifat bersedekah dan berzakat dan melupakan Tuhan.
  7. Riba pasti merosakkan dan melemahkan ummah.
  8. Mengelak dari salah satu sebab masuk neraka (antara dosa besar).


KESIMPULAN

Sistem perbankan konvensional merupakan sistem kewangan yang paling banyak mengamalkan transaksi riba melalui:-
  • Sistem Kad Kredit
  • Pinjaman Perumahan
  • Pinjaman Sewa-Beli Kereta
  • Pinjaman Perniagaan
  • Pinjaman Pelajaran
Sebarang faedah yang dikenakan ke atas sesuatu pinjaman pokok yang menyebabkan nilai pembayaran balik melebihi nilai pokok merupakan riba.

Sebagai alternatifnya, perbankan Islam telah diwujudkan untuk menukar konsep pinjaman kepada konsep perniagaan (jual-beli, kos tambahan), perkongsian keuntungan, pelaburan amanah, usahasama dan pajakan. Misalnya bank membeli hakmilik ke atas pembelian kereta atau rumah pada harga kos. Setelah dicampur keuntungan yang ditetapkan oleh bank, kereta atau rumah tersebut dijual pula kepada penghutang melalui skim pembayaran ansuran tanpa faedah riba.

Beberapa skim yang popular ialah:-
  • Mudharabah (perkongsian keuntungan)
  • Wadiah (simpanan amanah)
  • Musyarakah (usahasama)
  • Murabahan (kos tambahan)
  • Ijarah (pajakan)
Bakal penghutang harus berhati-hati dengan setiap skim yang ditawarkan pihak bank yang menawarkan perbankan Islam dengan meneliti setiap klausa dan akad supaya bebas dari unsur riba. Perlu juga berhati-hati dengan tipu helah 'dajjal' yang menggunakan nama-nama "produk Islamik" kewangan sedangkan pinjaman wang bukannya suatu produk atau servis.

Buat mereka yang telah terlanjur berhutang cara riba masih boleh bertaubat, fikirkanlah antara 2 perkara samada hendak:

Langsaikan Pokok Sahaja Lalu Muflis di Dunia

ATAU

Langsaikan Semua Lalu Muflis di Akhirat?

SEKIAN DAN SELAMAT BERHUTANG!


6 comments:

Leenoh said...

Salam Zaidi.
Berhutang kekadang sesuatu yang terpaksa kerana kemiskinan atau modal yang tidak mencukupi bagi memulakan sesuatu projek, hutang wajib dibayar kalau tidak tertanggung sehingga ke akhirat.

Rasulullah s.a.w. bersabda, " Nyawa orang mukmin itu tergantung dengan hutangnya sehingga hutang itu dibayar"

zaidi ali said...

Salam Leenoh.

Terdapat 2 bahagian dalam setiap sesuatu hutang:-
i) Bahagian yang WAJIB dibayar.
ii)Bahagian yang HARAM dibayar.
Sama-samalah kita mencari kedua-dua maksud bahagian hutang tersebut semoga diberi petunjuk.

Leenoh said...

Salam Zaidi.
Orang dulu sanggup simpan duit di dalam bantal utk mengelakkan riba.
Hutang merisaukan kita pada waktu malam dan merendahkan martabat pada waktu siang. Kita disuruh berdoa supaya dapat mengelakkan diri daripada berhutang berlebih-lebih lagi hutang jenis yang haram.

zaidi ali said...

Salam Leenoh.

Akan tiba di suatu masa, Ringgit Malaysia tiada nilai. RM akan menjadi bahan bakar longgok sampah. Ingat Wang Kertas Daun Pisang?

Sebelum terjadi sedemikian, eloklah kita beli emas/dinar emas dengan RM yang masih ada sedikit nilai dan simpan emas/dinar emas tersebut dalam peti Bank Islam. Kalau bank tutup pun peti cuma boleh dibuka oleh penyimpan. Bayarlah zakat emas. Itu yang sebenarnya dituntut oleh Islam. Nilai emas yang boleh nampak, bukannya nilai sekeping kertas. Lepas Jumaat sambung balik.

zai said...

Salam Zaidi,
Terima kasih diatas isu Riba ini, mmg sangat kena pada tempat dan masanya...tapi sayang sistem perbankan diMalaysia kebanyakannnya hanya menyusahkan rakyat kembali, apabila kerajaan membenarkan riba secara tidak langsung membeli akidah umat islam itu sendiri apatah lagi bagi mereka yg kurang berkemampuan utk membeli secara tunai dan kurang pengetahuan pula dalam hukum hakam maka pasti akan terjerat..lebih menyedihkan pula ditokok dengan gejala rasuah dikalangan umat islam itu sendiri yg sudah menjadi darah daging..

zaidi ali said...

Salam Leenoh & Zai.
...sambungan selepas Jumaat.

Pertama:
Seperti yang dikomen Leenoh berkenaan hadis itu memang benar. Saya yakin bahawa hadis tersebut ditujukan kepada pinjaman pokok dan bukannya pinjaman berfaedah riba yang sudah tentu dikutuk Nabi.

Kedua:
Seperti firman Tuhan (QS. al-Baqarah 2:275 & 278) yang saya catit di entri ini, eloklah kita cari alternatif jalan keluar samada menghentikan pemberian/pengambilan sisa faedah riba ATAU melakukan "refinancing" melalui skim Perbankan Islam. Eloklah sekiranya dipilih Bank Muamalat atau Bank Islam atau bank-bank antarabangsa lain yang tidak mencampuri langsung sistem konvensional (100% perbankan Islam tulen).

Kita juga boleh meminta dari bank supaya faedah riba (interest) tidak dimasukkan ke dalam akaun simpanan kita dan kita minta caj keluar simpanan tetap pokok kepada zakat. Sekiranya kita mahukan keuntungan, bolehlah melabur secara syariah dalam bank-bank koperasi seperti Bank Rakyat, Bank Persatuan, LUTH dan lain-lain bank bukan komersil.

Saya rasa menyimpan emas adalah yang terbaik dari segi nilai. Besar kemungkinan selepas Perang Dunia III nanti manusia hanya mengiktiraf nilai emas. USD dan RM dah tak laku.

Ketiga:
Setuju dengan Zai. Riba dan rasuah ibarat barah dalam darah daging kita. Barah-barah ini menyebabkan hati kita "benak" untuk menerima petunjuk Tuhan dan menyebabkan bacaan neraca kita lebih senget ke arah neraka...nauzubillah!